Berkata Ustaz Muhammad Syamsol
"Sebagaimana dunia ini ada perhiasaannya, maka perhiasaan pada hati itu ialah zikrullah".
Pernah suatu hari Nabi saw mengajarkan sebuah doa kepada sahabatnya yang bernama Muaz, yang memulainya dengan menyatakan rasa cinta beliau kerana Allah kepadanya, sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis, "Wahai Muaz, aku mencintaimu. Oleh itu jangan sesekali engkau meninggalkan doa ini setiap kali habis solat,
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya : Ya Allah, tolonglah daku untuk selalu mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan menyembahMu dengan baik.
Hadis ini dikenali sebagai hadis mahabbah (kecintaan). Daripada hadis ini kita akan dapati Nabi saw telah mengajar akhlak berdoa dan berzikir kepada sahabatnya Muaz. Yang pertama, Nabi saw mengajar kepada kita agar sentiasa meminta pertolongan kepada Allah swt dalam hal kekuatan hati untuk sentiasa mengingati Allah swt. Kedua, Nabi saw mengajari akhlak untuk sentiasa bersyukur kepadaNya dan ketiga Nabi saw mengajar akhlak untuk menyembah Allah swt dengan cara ihsan (baik).
Lihatlah, betapa agung erti zikir ini!. Pastinya bagi hamba yang mukmin sentiasa menyebutnya sebagai jalan untuk berhubung denganNya. Firman Allah swt,
Maknanya : Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. Surah al-Ankabut ayat 45.
Ketahuilah, berakhlak dengan zikrullah itu juga adalah dengan selalu menghadirkan atau merasakan keagungan Allah dalam hati, mengagungkannya dan merasa tenang, bahagia dan senang untuk dekat kepadaNya. Inilah makna dasar pada zikrullah, yakni dimulai dengan perbuatan hati dan kemudian dimunculkan ke lidah. Zikir yang paling utama adalaha zikir lisan yang di susuli dengan zikir hati. Zikir sebegini sangat berkesan untuk membersihkan hati dan batin serta semakin dapat mendekatkan pada ampunan dosa dan kesalahan serta memudahkan untuk mendapat kebaikan.
Katanya lagi,
"Mulailah menyebut nama yang dimulai pada diriNya sendiri".
"Sebutlah sebanyak-banyaknya akan namaNya, cuma namaNya jangan ditiru dan dan dipakai".
Maka oleh itu, hendaklah hamba itu sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikrullah. Mulailah menyebut namaNya sendiri. Nama yang dikenali sebagai nama bagi Zat yang azali. Inilah nama yang yang dicintai dan diagungkan dan dimuliakan oleh Allah swt. Nama pada DiriNya sendiri. Allah swt sengaja mengistimewakan dan lebih mengutamakannya di atas seluruh zikir lain agar akhlak dan tafakur hamba terpusat pada makna rahsianya yang menerangi hati, menguatkan makrifah, menambah rasa cinta kepadaNya. Zikrullah dapat menumbuhkan akhlak yang mulia dan dapat menyempurnakan keistimewaan hamba serta meningkatkan kedekatan kepadaNya. Maka mulailah menyebut "Allah". Inilah adalah zikrullah yang pertama. Kenalilah kalimah ini sepertimana anda mengenali diri anda sendiri. Berzikrullah dengan kalimah "Allah" adalah puncak pada setiap zikir. Inilah nama yang diberikan Allah swt untuk diriNya dan hanya Dia sahaja yang layak memiliki nama ini. Nama dan kalimah ini telah menunjukkan sifat kesempurnaan hanya hanya dimiliki olehNya. Tiada nama yang seagung dengan nama ini dan tidak patut bagi hamba itu memiliki nama yang sama dengan nama ini dan ini menunjukkan tidak ada makhluk yang sama atau menyerupaiNya. Ia merupakan nama yang hanya dimiliki olehNya dan khusus untuk diriNya sahaja.
Berakhlaklah tatkalamana anda menyebut dengan nama ini. Dahulukanlah menyebutnya dalam segala perbuatan sepertimana Dia telah mendahulukan nama ini atas seluruh nama dan menisbahkan seluruh nama kepadaNya. Seluruh nama yang disebutkan sesudahnya adalah sifat, gambaran dan terkait dengannya. Keislaman tidak sempurna kecuali dengan menyebut nama ini dan begitu juga maktifah hamba tidak sempurna jika hamba memulai dan mendahulukan ingatan kepada selain daripadaNya kerana dengan nama ini sahaja, lebih menunjukkan hakikat makna ketuhanan. Nama ini lebih terkenal, lebih sempurna dan lebih jelas sehingga sudah cukup meskipun tidak diperkenalkan nama lain. Ketahuilah wahai hati yang bermakrifah!, dijadikanNya nama ini untuk diucap, disebut dan menjadi tempat bergantung tetapi tidak untuk ditiru dan dipakai.
"Ya Allah..Ya Allah…"
benar
ReplyDelete