Tuesday, April 27, 2010

Iman dan Taubat




MENGUKUHKAN KEDUDUKAN IMAN DENGAN JALAN TAUBAT


Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol,

"Tiada iman bagi sesiapa yang tidak bertaubat"

Katanya lagi,

"Pintu yang paling istimewa yang pernah diciptakan al-Haqq ialah pintu taubat".

"Hak atas al-Haqq untuk menerima kembali hamba-hambaNya yang berminat untuk kembali kepadaNya".

"Sekiranya al-Haqq tidak bersifat dengan sifat at-Tawwab, agak-agaknya kemanakah kita nanti?.

Wahai jiwa yang telah bermakrifah!. Bagaimana kedudukan hatimu?, bagaimana pula kedudukan imanmu?. Ingatlah bahawa, kita semua ini adalah makhluk istimewa ciptaan Allah swt. Dia telah memulainya dengan Abul Basyar atau Nabi Adam as. Kemudian disusuli dengan para Nabi dan Rasul yang lain dan di antara mereka mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah swt. Tahukah kamu wahai hambaNya yang bermakrifat?, bagaimanakah Allah swt telah mengistimewakan kedudukan mereka?. Ketahuilah!, keistimewa itu dicapai melalui aqrabnya atau dekatnya hubungan hamba dengan TuhanNya dan bagaimana pula caranya?, maka caranya ialah dengan sentiasa kembali kepadaNya. Inilah yang dimaksudkan dengan taubat. Taubat adalah rahsia terbesar pintu hidayah Allah swt kepada hamba-hambaNya. Oleh itu, hendaklah dirimu ketahui dalam hal ini, kerana seseorang yang sentiasa bertaubat akan memperolehi nur atau cahaya dalam dirinya. Dengan nur ini akan memberi kekuatan pada imannya. Semakin seseorang hamba bertaubat, maka semakin kuatlah imannya dan puncak kepada kekuatan iman ialah apabila imannya berada dalam keadaan kukuh bersama Rabul Jalil al-Haqq. Maka kamu wahai hambaNya yang mahu membersihkan jiwanya, kembalilah dengan mengukuhkan imanmu dengan jalan bertaubat kepadaNya. Hal ini telah diperintahkan oleh Dia yang Maha Haq melalui firmanNya,

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". Surah at-Tahrim ayat 8.

Hayatilah ayat ini, ia adalah perintah daripada al-Haqq. Dia memerintahkan diri kita semua agar kembali kepadanya dengan meninggalkan segala kemaksiatan yang kecil mahupun yang besar. Secara hakikatnya ialah, seolah-olah Dia al-Haqq mengilhamkan dalam sanubari hatimu dengan berkata, "Wahai hambaku, tinggalkanlah pakaian burukmu itu (perbuatan dosa dan maksiat), dan kembalikah mengikat hubunganmu denganKu dengan melaksanakan ketaatan. Tinggalkanlah jalan yang jauh itu dan kemarilah dekat kepadaKu".


" Ya Allah terima kami kembali sebagai hamba-hambaMu yang mendapat Maghfirah dan RahmatMu".



No comments:

Post a Comment