Sunday, April 25, 2010

Rahsia-rahsia Khusyuk

Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol di dalam kitab beliau yang bertajuk
(Asrorul Khosyi`in)
, pada bahagian yang pertama,

Beliau telah berkata,

"Kehadiran hati merupakan perkara pertama yang wajib ada sewaktu solat".

Kehadiran hati

Hendaklah seseorang yang hendak mendirikan solat itu mengetahui bahawa solat yang bakal didirikan adalah salah satu cara untuk mengingati Allah swt. Barangsiapa yang hatinya terpaut untuk mengingati Allah swt, nescaya Allah swt juga terpaut untuk mengingati hambaNya. Allah swt mengingati diri hambaNya lebih besar kedudukan daripada si hamba mengingati Allah swt. Apabila si hamba mengetahui bahawa solat itu bakal didirikan untuk Allah swt, maka terkeluarlah dia daripada sifat orang-orang yang lalai.


 

Sebelum memulai solat, hendaklah terlebih dahulu hati di kosongkan dengan angan-angan dunia. Pusatkan pemikiran bahawa kita akan berdiri di hadapan yang Maha Raja. Bayangkan bahawa kita sedang berdiri di padang mahsyar dan bila-bila masa sahaja kita akan dipanggil oleh yang Maha Gagah Perkasa yang akan mengadili semua amalan perbuatan kita.


 

Sewaktu solat, kehadiran hati amatlah penting dan kita hanya diberikan pahala berdasarkan kekhusyukkan dalam hati. Oleh itu tetapkan hati bahawa diri kita sedang berada dihadapaNnya, dalam pengawasaanNya dan dalam penglihatanNya. Tetapkan hati bahawa Dia sedang melihat gerak-geri kita dan begitu juga Dia sedang memerhatikan apa yang dibaca serta lintasan-lintasan dalam hati kita. Jangan sesekali solat untuk mendapat pangkat dan ganjaran dunia. Akan tetapi solatlah kerana kita adalah hambanya, yang penuh dengan dosa-dosa dan cinta dunia. Solatlah semata-mata hanya untukNya. Wujudkan dalam diri bahawa kita banyak membuat kesalahan padaNya dan solat sebagai penebus dan penghapus dosa-dosa.


 

Wujudkan bahawa inilah cara taubat kita padaNya. Hati benar-benar menyesali dan menginsafi dosa-dosa terdahulu sambil berkata di dalam hati, "Ya Allah Ya Tuhanku, Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dan kasihanilah daku".


 

Hendaklah kita sentiasa merendah diri padaNya. Hadirkan dalam hati sifat kebesaranNya. Dialah Zat yang Maha Agung. Rasakan diri kita ini benar-benar hina, kotor, kerdil dan berpenyakit. Ibaratkan dalam hati bahawa ini adalah solat kita yang terakhir dan sebagai solat selamat tinggal dalam dirinya, hawa nafsunya dan umurnya. Ia membayangkan bahawa ia sedang berjalan menuju kepada Allah swt.


 

Rasakan dalam diri bahawa solat adalah salah satu cara untuk bermunajat, merintih dan mengeluh padaNya. Hadirkan dalam hati bahawa kita sedang berada di bawah KekuasaanNya. Hadirkan dalam hati bahawa antara kita denganNya tidak wujud hijab dan tirai, tidak juga wujud perantaraan dan juru bahasa, melainkan yang hanya wujud adalah Dia dan kita sahaja. Kemudian merintihlah dan mengeluhlah padanya. Katakan pada hati, "Ya Allah, hambamu yang lemah hadir membawa kesalahan dan dosa padaMu, dan janganlah Engkau mengazab hambamu ini kerananya". Wujudkanlah getaran dalam hati, ibarat si faqir sedang meminta-minta kepada yang kaya. Apalagi sekiranya kita sendiri yang amat-amat faqir sedang meminta-minta kepada yang Maha Kaya dan Maha Pemberi Kurnia. Mintalah agar solat ini wujud ingatan (khusyuk) padaNya, secara berterusan dan sambil bila-bila.


 

Hendaklah ingatan kita pada Allah swt menyebabkan kita lupa terhadap manusia-manusia di sekeliling kita, apatah lagi orang di kanan dan kiri kita. Pusatkan ingatkan sehingga kita tidak mengenali manusia-manusia seluruhnya dan manusia juga mengenali kita. Jangan sesekali solat dalam keadaan lalai, seolah-olah gerak-geri dan perbuatan solat kita sedang dilihat manusia.


 

Jangan sesekali merasai solat kita terancam disebabkan mata-mata manusia yang melihat. Tumpukan sepenuh ingatan dalam hati bahawa jiwa dan hati kita seluruhnya sedang berada di dalam TanganNya. Bila-bila masa sahaja Ia boleh mencabut nyawa kita kerana tidak ada satu jiwa pun yang boleh menghalang KehendakNya. Nyawa kita dalam gengamanNya.

Kekuatan untuk kita bergerak adalah kerana KekuatanNya dan kelemahan yang wujud pada kita menunjukkan kehinaan dan kekerdilan diri kita.

Apabila kita solat, hadirkan dalam hati bahawa kita telah benar-benar bersedia melakukan apa yang diperintahNya. Tetapkan keyakinan dalam hati bahawa semua perbuatan kita adalah sesuatu yang telah ditetapkan dan ditakdirkan atas kita olehNya. Kita tidak mungkin boleh bebas melakukan semua kemahuan kita. Hadirkan dalam hati bahawa kita sedang mendapat didikan daripadaNya, luahkan dalam hati, "Ya Allah ajarlah aku, ingatkanlah aku mana yang aku lupa dan lalai". Hendaklah hati terus merayu dan merayu. Kosongkan pemikiran dengan sentiasa memelihara ingatan hanya padaNya. Kosong dengan sebenar kosong, seperti alam ini tidak pernah wujud, dunia dan akhirat juga tidak wujud dan yang hanya wujud adalah Dia. Dialah Yang Maha Tunggal, Yang Maha Esa Yang Maha Mulia, Yang Maha Agung. Tiada yang wujud melainkan hanya Dia, Yang Maha Kekal.


 

No comments:

Post a Comment