Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol,
"Sepertimana manusia yang berperingkat dalam kehidupannya, maka begitulah juga taubat".
"Syarat terbesar untuk meraih MaghfirahNya adalah dengan taubat, maka jadikanlah ia sebagai langkahmu yang pertama"
Wahai dirimu yang bergelar hamba!, perjalananmu sekarang ini dan sentiasa terus-menurus untuk dilakukan ialah dengan taubat. Inilah jalannya dan inilah jalan yang awal-awal sekali yang ditempuh oleh seorang yang mahu menuju kepadaNya. Rabmu itu sangat-sangat mencintai dan mengasihi hamba-hambanya yang terus-menerus bertaubat tanpa merasa bahawa jiwa dan dirinya telah bersih daripada dosa-dosa. Inilah yang difirmankanNya,
Maksudnya : Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat (terus-menerus bertaubat), dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri. Surah al-Baqorah ayat 222.
Ketahuilah wahai hamba-hambaNya yang mahukan kesucian di dalam hatinya!, hendaklah dirimu ketahui bahawa taubat itu adalah sesuatu amalan mulia yang telah dikurniakan Rabbul Jalil ke dalam jiwamu. Hendaklah dirimu berpegang teguh dengan amalan ini hingga ke puncak kehidupan dan sehingga ke akhir hayatmu. Kedudukan taubat wujud dalam tiga tahap, yakni wujud pada permulaan, pertengahan dan akhir, maka jangan sesekali dirimu berpisah pada kedudukan dan tahap wujud taubat tadi. Hendaklah dirimu sampaikan perkara taubat ini dan kedudukannya kepada hamba-hambaNya yang lain. Ingatlah!, al-Haqq telah berfirman,
Maksudnya : Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. Surah an-Nur ayat 31.
Dalam ayat ini, Allah swt menyeru kepada ahli iman dan makhluk pilihanNya agar bertaubat atau kembali mengukuhkan keimanan kepadaNya. Pastinya mereka yang beriman akan memperolehi kejayaan demi kejayaan di dunia dan di akhirat dan taubat adalah salah kedudukannya. Ingatlah!, Allah swt memerintahkan hambaNya bertaubat agar diri hamba itu tidak dinilai sebagai manusia fasiq dan zalim. Ketahuilah!, manusia zalim itu pasti binasa dan pasti di azab. Tidaklah berlakunya kezaliman melainkan wujudnya kejahilan tentang al-Haqq. Begitu juga wujud kejahilan tentang dirinya sendiri. Maka dengan jalan taubat, dapat mengeluarkan kejahilan dan kezaliman yang sedang berdarah berdaging dalam diri. FirmanNya,
Maksudnya : Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Surah al-Hujurat ayat 11.
Ketahuilah juga wahai hamba-hambaNya yang bermakrifah!, tahap taubat permulaan itu dinamai taubah (kembali kepada ketaatan), tahap pertengahan dinamai inabah (sentiasa bertaubat dalam setiap masa) dan tahap akhir itu dinamai awbah. Oleh itu ketahuilah!, barangsiapa bertaubat kerana takutkan azan siksaanNya, maka ia adalah tergolong orang yang benar-benar bertaubat. Barangsiapa yang bertaubat kerana menginginkan pahala daripada al-Haqq, maka ia berada dalam keadaan inabah dan barangsiapa yang bertaubat lantaran mematuhi perintah al-Haqq, bukan kerana ingin mendapatkan pahala mahupun takut hukuman, maka ia berada dalam keadaan awbah (telah terikat dengan taubat).
Ketahuilah!, taubat itu adalah sifat para mukmin sepertimana firmanNya di dalam surah an-Nur di atas. Inabah adalah sifat para Auliya` dan Muqarrubun sepertimana firmanNya,
Maksudnya : ...lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat). Surah Shood ayat 30.
Sifat awbah adalah untuk para Nabi dan Rasul sepertimana firmanNya,
Maksudnya : Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba; Sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya). Surah Shood ayat 44.
Kata Ustaz Muhammad Syamsol lagi,
"Orang yang bertaubat dosa-dosanya diampunkan, darjatnya di angkat, pahala besar juga diberikan, jadi mengapa mesti di tangguh-tangguh lagi perlaksanaannya?, tidakkah kamu melihat betapa luasNya RahmatNya di dikurniakan kepadamu?.
"Ya Allah, hanya Engkaulah sahaja yang kami mengharap".
No comments:
Post a Comment