Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol berkenaan persoalan Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaa`ah,
Beliau berkata,
"Alhamdulillah, selawat dan salam dicurahkan kepada Nabi Muhammad saw, ahli keluarganya dan para sahabatnya yang membangunkan hati-hati manusia. Secara ringkasnya, Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah merupakan golongan umat Islam yang berpegang teguh dengan pijakan atau dasar sebenar dalam ajaran umat Islam secara keseluruhan. Mereka hanya berpegang dengan amalan Nabi Muhammad saw sebagai Rasul yang dibimbing oleh Allah swt melalui wahyuNya yakni al-Quran. Inilah golongan yang disebut sebagai penganut sunnah Nabi saw dan hal ini yang dimaksudkan oleh kami mengenai istilah Ahlus Sunnah. Manakala Jama`ah membawa maksud golongan yang beri`tiqad atau berpegang dengan i`tiqad yang dianuti oleh sekalian jama`ah daripada para sahabat Nabi Muhammad saw. Golongan ini juga disebut dengan panggilan salaf dalam takrif Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dasar pegangan aqidah mereka diambil daripada al-Quran dan as-Sunnah. Mereka tidak menetapkan sesuatu yang baik atau tidak baik berdasarkan akal kerana hukum-hakam bukan ditentukan oleh manusia. Golongan ini berpegang teguh beri`tiqad bahawa al-Quran itu adalah Kalamullah dan bukannya makhluk.
Pada hari ini Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah dikenali diserata dunia Islam. Walaupun begitu umat Islam yang beraqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah mempelajari dan berpegang teguh dengan rumusan ilmu aqidah yang disusun oleh dua orang ulama besar yang bernama Imam Abu Hassan as-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Fahaman umat Islam yang berakidah dengan Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah mengambil fahaman daripada dua ulama besar ini. Selayaknya juga bagi kita umat Islam hanya berpandukan fahaman yang dibawa oleh kedua ulama ini kerana kebenaran ajaran yang di bawa oleh mereka terpancar jelas dalam dunia Islam sejak kurun yang ke tiga sehingga ke hari ini. Hanya inilah sahaja aqidah yang bercahaya dan inilah juga aqidah yang dianuti oleh Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya. Perlu diketahui bahawa, golongan ini tidak dinisbahkan atau dikaitkan dengan golongan yang dipanggil Salafiyyah atau dipanggil gerakan Salafiyyah al-Wahhabiyyah. Tidak juga dinisbahkan kepada fahaman Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qoyyim atau Muhammad `Abdul Wahhab".
Wa Allahu `Alam.
No comments:
Post a Comment