Berkata Ustaz Muhammad Syamsol,
"Sebelum makhluk diciptakan, al-Haqq telah mewajibkan taubat kepada makhluk yang bakal Dia cipta".
"Taubat tidak bersifat khusus, tetapi umum untuk semua makhluk yang Dia cipta".
Katanya lagi, dalam kuliah tasawufnya,
"Taubat bukan sekadar penyebutan pada lidah, tetapi dibuktikan pada perbuatan".
"Sungguh menghairankan, pintu taubat masih dibuka, tetapi tidak ramai yang berminat untuk memasukinya".
Ketahuilah wahai hamba-hambaNya yang telah bermakrifah!. Hendaklah dirimu mengetahui bahawa, di antara tanda-tanda matinya hati seseorang itu ialah dengan tidak wujudnya kesedihan dalam diri sewaktu dirinya itu meninggalkan berbagai ketaatan dan perintah al-Haqq dan tidak adanya juga perasaan menyesal atas pelbagai kesalahan yang dirinya telah lakukan. Oleh kerana itulah bagi para semua para hambaNya, sama ada dia itu seorang Nabi, Rasul, Wali, solehin atau semua mereka itu terdiri daripada ahlil iman atau terdiri daripada ahlil kufri memerlukan taubat secara terus-menerus. Taubatnya para Nabi dan Rasul itu adalah dengan sentiasa berzikir dan beribadah kepadaNya tanpa wujud kelalaian walaupun sesaat dan taubatnya ahlil iman selain daripada mereka adalah dengan melaksanakan kembali ketaatan dan mengukuhkan kembali keimanan dengan amalan-amalan kebaikan, sepertimana firmanNya,
Maksudnya : Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka ssungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat. Surah al-Furqan ayat 71.
Manakala taubat para ahlil kufri atau seseorang yang kufur ialah dengan beriman kepada Allah dan RasulNya dengan ucapan kalimah syahadah dan keyaqinan yang teguh di dalam hati tentang kalimah itu serta meninggalkan segala unsur-unsur kesyirikan, seperti taubatnya seorang yang musyrik itu dengan meninggalkan semua sembahan-sembahan mereka lakukan kecuali sembahan terhadap Allah swt. Inilah yang berlaku pada golongan-golongan musyrik arab Mekah. Taubatnya seorang ahlil kitab itu ialah dengan beriman dengan al-Quran dan Rasul terakhir yang diutus buat seluruh alam yakni Nabi Muhammad saw. Taubatnya seorang majusi atau penyembah api kepada sembahan hanya untuk Allah swt yang Maha Ghaib. Taubatnya bagi seorang yang beragama budaya, seperti hindu, buddha atau seumpamanya kepada agama wahyu yakni Islam. Taubatnya bagi seseorang yang tidak mengenali Tuhan atau mengingkari wujudnya Tuhan kepada kepercayaan tentang kewujudan Tuhan, kemudian hati mereka perlu diperkenalkan tentang kewujudan Tuhan yang al-Haqq itu adalah Allah swt, Tuhan sekalian alam. Oleh itu, sesiapa sahaja dikalangan mereka yang Allah swt menghendaki untuk menerima taubat mereka, nescaya Allah swt akan menganugerahkan kepada mereka taufiq dan hidayah agar mereka beriman kepadaNya, sepertimana firmanNya,
Maksudnya : Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah at-Taubah ayat 25.
FirmanNya lagi,
Maksudnya : Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). Surah al-Qosos ayat 56.
"Ya Allah, kekalkan diri kami agar sentiasa bertaubat kepadaMu".
No comments:
Post a Comment