Sunday, April 25, 2010

Hati Yang Bermakrifah

Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol dalam siri kuliah tasawufnya..

"Tiada kemulian dan keutamaan yang terbesar dan tertinggi melainkan Ma`rifatullah".

Ketahuilah wahai orang yang telah hidup hatinya, antara kemulian dan keutamaan yang dikurniakan Allah swt kepada hamba-hambaNya itu ialah Ma`rifatullah, yakni mengenal Allah swt berdasarkan seruan yang diserukan kepada hambaNya. Hendaklah diri hamba sentiasa bersedia untuk menerima Ma`rifah daripadaNya dan kunci Ma`rifah itu di hati. Hati itu akan berhijab dan berdinding daripada Allah swt sekiranya hatinya itu tenggelam selain daripadaNya. Hati yang mencari dan hati juga berbicara. Hati yang berbahagia ialah hati yang telah dekat hubungannya dengan Allah swt. Sesungguhnya, pada hakikatnya hatilah yang melakukan ketaatan kepadaNya dan ibadah-ibadah yang berkembang pada anggota diri hamba adalah cahayanya. Oleh itu, hendaklah bagi diri hamba itu mengenali hatinya. Barangsiapa mengenali hatinya, maka ia telah mengenal dirinya dan barangsiapa yang telah mengenal dirinya, maka ia telah mengenal TuhanNya.

Katanya lagi..

"Apabila hati telah mengenal kewajiban, maka yang pertama adalah mengenalNya".

Hendaklah diri hamba itu ketahui, mencari, menuntut dan melaksanakan Ma`rifah itu adalah wajib. Semua itu merupakan perkara yang berkaitan dengan perjalanan bagi hati. Begitu juga mencari ilmu hati, mengenal kedudukan dan keadaannya serta merincinya adalah wajib. Ma`rifah daripada sudut bahasa membawa erti pengetahuan. Sekiranya dikaitkan dengan hati yang berma`rifah bermaksud pengetahuan yang tidak wujud dan tidak menerima keraguan lagi. Ketahuilah bahawasanya Ma`rifah yang paling tinggi itu ialah pengetahuan yang tidak menerima keraguan terhadap Zat dan Sifat Allah swt. Ma`rifah terhadap Zat Allah swt adalah mengetahui bahawasanya sesungguhnya Allah adalah wujud Esa, Yang Tunggal dan Tuhan Yang Maha Agung, Dia berdiri dengan sendiriNya dan tiada sesuatupun yang menyerupaiNya. Ma`rifah terhadap sifat ialah mengetahui dengan sesungguhnya Allah itu Maha Hidup, Maha Mengetahui, Maka Berkuasa, Maha Mendengar dan Maha Melihat dengan segala sifat-sifat kesempurnaan.

Katanya lagi..

"Mana mungkin seseorang boleh melihatNya, sedangkan dirinya sendiri tidak habis dilihat".

"Kamu tidak akan mampu melihatNya sekiranya gelas kacamu tidak sama dengan putehnya air". (Yakni hati masih ada noda-noda hitam)

Oleh kerana itu hendaklah hati hamba itu berperanan untuk mengetahui dan mempelajari rahsia-rahsia Allah swt dan mengetahui peraturan-peraturanNya tentang segala yang ada. Rahsia terbesar dalam Ma`rifah itu ialah hanya memandang kepada wajah Allah swt tanpa perantara, tanpa bagaimana ditanya keadaannya dan tanpa suara. Hati yang bersih, bercahaya dan bersinar disebabkan cahayaNya pasti membenarkan apa yang dilihat oleh mata hati hamba.

Hendaklah hati seorang hamba itu mengenali Zat, Nama dan Sifat-sifatNya secara benar. Mengenal Allah swt merupakan satu ilmu pengetahuan yang paling sulit kerana tidak ada yang serupa denganNya. Namun begitu, Allah swt telah mewajibkan semua makhlukNya, yang terdiri daripada manusia, jin, malaikat dan syaitan untuk mengenali Zat, Nama dan Sifat-sifatNya. Allah swt mencela dan memurkai terhadap mereka yang tidak mengenaliNya.


Ustaz Muhammad Syamsol pernah berkata, "Makrifah tertinggi ialah memahami sifat wajib, mustahil dan harus bagiNya melalui ahli-ahli makrifah juga".

No comments:

Post a Comment