Sunday, April 25, 2010

Akhlak Ikhlas

Berkata Ustaz Muhammad Syamsol,

"Jangan berdebat tentang ikhlas kerana ia adalah rahsia al-Haqq".

"Pakaian iman adalah keikhlasan".

Katanya lagi,

"Yang dapat menghidupkan cahaya imanmu adalah dengan keikhlasan".

"Dengan keikhlasan sahaja seorang pejuang dapat menawan musuh-musuhnya".

Ketahuilah juga wahai hamba-hamba yang telah bermakrifah!. Hamba-hambaNya yang ikhlas diibaratkan sebagai pelita di dalam kegelapan dan dengan berkah daripada keikhlasan mereka, Allah swt menyelamatkan hamba-hambaNya yang lain daripada ujian-ujian besar. Maka sungguh-sungguh berbahagialah bagi hamba-hambaNya yang ikhlas dalam hatinya. Ketahuilah juga bahawa iman itu juga dimaksudkan dengan ikhlas. Sabda Nabi saw,

طُوبَى لِلْمُخْلِصِينَ أُولَئِكَ مَصَابِيحُ الدُّجَى تَتَجَلَّى عُنْهُمْ كُلُّ فِتْنُةٍ ظُلْمَاءَ

Maksudnya : Berbahagialah orang-orang yang ikhlas. Mereka adalah pelita di dalam gelap dan kerana merekalah terpadamnya fitnah-fitnah yang besar. Hadis riwayat Imam al-Baihaqi.

Nabi saw pernah ditanya dengan satu pertanyaan mengenai iman, sepertimana disebutkan di dalam hadis,

نَادَى رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللهِ مَا الإِيمَانُ ؟ قَالَ : اَلْإِخْلاَصُ

Maksudnya : Ada seseorang telah berseru dan bertanya, Ya Rasulullah, apa itu iman? Jawap Nabi saw, "Iman itu ialah ikhlas". Hadis riwayat Imam al-Baihaqi.

Ketahuilah wahai hamba-hambaNya sekalian, perbaikilah semua niat-niatmu itu. Perhatikanlah sama ada semua perbuatan itu ditujukan kepada Allah swt untuk mendapat keredaanNya, balasanNya dan anugerahNya. Niatkan di dalam hatimu dengan penuh keyakinan terhadap janji-janjiNya dan balasanNya terhadap amalan-amalanmu itu. Mintalah ampun padaNya sekiranya hatimu itu pernah terwujud rasa kurangnya keikhlasan hati kepadaNya. Setiap akhlak pada hati itu perlu adanya sifat kesabaran. Tiadalah ganjaran bagi hambaNya yang bersabar melainkan syurga.

Maksudnya : Dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalaNya. Dan mintalah ampun kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah al-Muzammil ayat 20.

Sabda Nabi saw dalam satu riwayat hadis Qudsi, Rasulullah saw telah bersabda,

يَقُولُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ ابْنَ آدَمَ إِنْ صَبَرْتَ وَاحْتَسَبْتَ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الْأُولَى لَمْ أَرْضَ لَكَ ثَوَابًا دُونَ الْجَنَّةِ

Maksudnya : Allah swt telah berfirman, Wahai anak Adam, sekiranya engkau terus bersabar (apabila ditimpa sesuatu ujian) dan engkau hanya mengharapkan ganjaran pahala, maka Aku tidak rela untuk membalasimu dengan balasan yang lebih rendah daripada syurga. Hadis riwayat Imam Ibnu Majah.

Sabda Nabi saw lagi,

إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ

Maksudnya : Apa sahaja perbelanjaan yang dikeluarkan untuk mendapat keredhaan Allah, kamu pasti akan memperolehi pahalanya. Sehinggalah (pahala diberikan kepada kamu) terhadap suapan yang kamu suapkan kemulut isteri kamu. Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Oleh itu, perhatikanlah semua niatmu yang berkaitan dengan perbuatanmu. Hendaklah bagi hambaNya itu sentiasa mengharapkan wajahNya di akhirat. Hendaklah hambaNya itu menyerahkan dirinya bulat-bulat dan sepenuh hati, jiwa dan perasaannya kepada Allah swt. teruskanlah berusaha dengan segala kemampuan yang ada untuk melakukan ketaatan dan kebaikan semata-mata untuk wajahNya. Barangsiapa yang melakukan demikian, maka ia telah berpegang dengan Agama Allah swt yang teguh. Sepertimana yang difirmankanNya,

Maksudnya : Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali Agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. Surah Luqman ayat 22.


 

"Ya Allah, bantulah kami".

No comments:

Post a Comment