Sunday, April 25, 2010

Latar belakang turunnya surah an-Ikhlas

Ustaz Muhammad Syamsol pernah ditanya mengenai asbabunnuzul (sebab-sebab turunnya) surah al-Ikhlas, maka beliau telah menulisnya dalam satu risalah kecil dan diberikan kepada orang yang bertanya..

Dalam risalahnya itu, beliau mendatangkan beberapa hadith dan menterjemahkannya,

Hadith pertama :

Daripada Ubay Bin Ka`ab r.hu, bahawasanya orang-orang musyrik telah berkata kepada Nabi saw : Ya Muhammad, sila terangkan keturunan Tuhanmu kepada kami. Maka Allah swt menurunkan surah ini (ayat 1 hingga 4), kerana setiap yang dilahirkan pasti akan mati. Manakala setiap yang mati pasti akan meninggalkan waris, sedangkan Allah tidak mati dan tidak pula meninggalkan waris. Firman Allah swt : Dan tidak ada yang setara dengan denganNya (al-Ihklas ayat 4). Ertinya tiada yang serupa atau menyamai Allah swt. Tiada yang dapat menjadi setara denganNya.

Kajian hadith : Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhary di dalam kitab Tarikhnya, at-Tirmizi, Ibnu Jarir, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Abi Hatim, al-Hakim dan beliau mengsahihkannya dan al-Baihaqi.


 

Hadith kedua :

Daripada `Ikrimah, bahawasanya orang-orang musyrik telah berkata : Ya Rasulullah, ceritakan kepada kami mengenai Tuhanmu, sila sifatkan Tuhanmu kepada kami dan daripada apakah akan Dia itu? Maka Allah swt menurunkan surah ini.

Kajian hadith : Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir.


 

Hadith ketiga :

Daripada Abi `Aliyah, dia telah berkata : (orang-orang musyrik berkata kepada Nabi saw) : Sila sifatkan kepada kami mengenai Tuhanmu. Maka datanglah Jibril dengan membawa surah ini.

Kajian hadith : Diriwayatkan oleh Ibnu ad-Durais dan Ibnu Jarir.


 

Hadith keempat :

Daripada Jabir r.hu, dia berkata : Telah datang orang-orang arab kepada Nabi saw, (mereka) berkata : Sila terangkan keturunan Tuhanmu kepada kami. Maka Allah swt menurunkan surah ini.

Kajian hadist : Diriwayatkan oleh Abu `Aliyah, Ibnu Jarir, Ibnu Munzir, at-Thobroni, Abu Na`im dan al-Baihaqi dengan sanad hasan (baik).


 

Hadith kelima :

Daripada Ibnu Mas`ud r.hu, dia berkata : Telah berkata orang Quraisy (kepada Nabi saw) : Ya Rasulullah : Sila terangkan keturunan Tuhanmu kepada kami. Maka Allah swt menurunkan surah ini.

Kajian hadith : Diriwayatkan oleh at-Thobroni dan Abu Syeikh.


 

Hadith keenam :

Daripada Anas bin Malik r.hu, dia berkata : Telah datang daripada kalangan orang-orang yahudi (berasal) dari Khaibar kepada Nabi saw, maka mereka berkata : Ya Abal Qosim, Allah telah menciptakan para Malaikat daripada cahaya hijab, Adam daripada tanah lumpur, Iblis daripada api yang menjulang, langit daripada asap, bumi daripada buih air. Maka khabarkan kepada kami mengenai Tuhanmu. Tidaklah Nabi saw menjawap pertanyaan mereka. Maka datanglah Jibril a.s dengan membawa surah ini.

Kajian hadith : Diriwayatkan oleh Abu Sheikh dan Abu Bakar as-Samarqondi.


 

Hadith ketujuh :

Daripada Ibnu Abbas r.huma, bahawasanya telah datang kepada Nabi saw daripada kalangan orang-orang yahudi, mereka itu adalah Ka`ab bin al-Asyrof dan Yahya bin Akhthob, mereka berkata : Ya Muhammad, Sila sifatkan kepada kami mengenai Tuhanmu, yang telah mengutusmu. Maka Allah swt menurunkan surah ini.

Kajian hadith : Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim, Ibnu `Adi dan al-Baihaqi.


 

Hadith kelapan : Daripada Sa`id bin Jubair r.hu, dia berkata : Telah datang daripada kaum yahudi kepada Nabi saw. Mereka berkata : Ya Muhammad, Allahlah yang telah menciptakan makhluk, siapa pula yang menciptakanNya?. Maka marahlah Nabi saw sehingga berubahlah air mukanya, maka datangnya Jibril mententeramkan keadaan Nabi saw dengan berkata : Hendaklah anda merendahkan sayapmu (bersifat tenang), dan (kemudian) datanglah jawapan daripada Allah swt apa yang ditanyakan oleh mereka (orang yahudi), dengan diturunkan surah ini.

Kajian hadith : Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir.


 

Hadith kesembilan : Daripada Qotadah, dia berkata,, bahawasanya kaum Ahzab telah berkata : Sila sifatkan Tuhanmu kepada kami. Maka datanglah Jibril menyampaikan surah ini.

Kajian hadith : Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir.

Kata Imam as-Sayuthi : Kaum Ahzab yang dimaksudkan ialah puak musyrikin.


 

Wa Allahu `Alam.

No comments:

Post a Comment