Sunday, April 25, 2010

Bahagian hati yang bermakrifah

Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol…"

"Al-Haqq tidak sepertimana yang dirimu gambarkan kerana Dia tidak layak untuk digambarkan".

Katanya lagi,

"Apabila al-Haqq memperlihatkan diriNya, maka tiada alam yang dapat menghakikatkanNya". (Yakni tiada makhluk yang dapat menghakikatkan ZatNya).

Katanya lagi,

"Apabila al-Haqq memperlihatkan diriNya kepadamu, maka tiada alam yang perlu dicari olehmu lagi". (Yakni Allah swt tidak wujud bersama-sama makhluk yang diciptaNya).


Hati yang bermakrifah terbahagi kepada dua, pertama bersifat umum dan kedua bersifat khusus. Hati yang bermakrifah yang bersifat umum yang wajib dimiliki pada setiap mukalaf adalah mengakui keberadaan dan kewujudanNya. Begitu juga sentiasa menyucikanNya daripada segala sesuatu yang tidak sesuai denganNya dan mengakui segala sifat yang Allah swt telah tetapkan atas diriNya. Sementara hati yang bermakrifah yang bersifat khusus ialah hati yang dapat menyaksikan Allah swt. Ahli makrifah adalah hamba-hambaNya yang Allah swt beri kemampuan untuk menyaksikan Zat, Sifat, Nama dan PerbuatanNya. Hati yang bermakrifah adalah wujudnya ilmu pengetahuan yang sangat jelas dan pasti tentang Allah swt yang diperolehi melalui hati sanubari. Oleh itu, wajib ke atas setiap mukalaf mencari hal-hal yang berkaitan dengan makrifah kepadaNya dan berdosa sekiranya membiarkan diri berada dalam keadaan jahil untuk mengenalNya. Firman Allah swt,

Maksudnya : Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran Dengan mentauhidkan Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu). Surah az-Zukhruf ayat 86.

FirmanNya lagi,

Maksudnya : Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada Tuhan Yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?. Surah Hud ayat 14.

FirmanNya lagi,

Maksudnya : Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui. Surah al-Anbiya` ayat 7.

AhluzZikri yang dimaksudkan ialah ahli Tauhid dan memiliki pemahaman yang dalam dan luas tentang Allah swt.


"Ya Allah masukkanlah kami di kalangan mereka".

No comments:

Post a Comment