Sunday, April 25, 2010

Nasihat dan Wasiat

Suatu ketika Ustaz Muhammad Syamsol pernah menulis surat kepada salah seorang anak muridnya…

Beliau telah berkata dalam suratnya,

Wahai anakku bersabarlah…

Hendaklah kamu bersabar sepertimana Rasulmu. Rasul saw adalah Nabi kita. Baginda diberi wahyu yang dinamai al-Quran. Baginda benar-benar berakhlak dan al-Quran. Baginda sentiasa bersama dengan orang yang mengamalkan al-Quran. Hendaklah dirimu ketahui, antara akhlak Nabimu yang mulia adalah sabar. Sabar adalah sikap pada perbuatan, tujuan, niat dan maksud sabar tidak dan tidak bukan hanya untuk Tuhan. Sabar ini termasuk sifat-sifat Tuhanmu dan Ia memerintahkan agar mengamalkan sifat sabar ini pada jiwa dan perbuatanmu.

Baginda benar-benar mencinta kita, walaupun kita tidak pernah melihat dan merasai kehadirannya, akan tetapi hatinya, ingatannya, rindunya, sayangnya dan kasihnya baginda pada kita dengan tidak putus-putus. Tahukah kamu mengapa? Kerana sikap kesabaranmu, kerana hatimu sentiasa sabar dalam musibah dan ujian yang diberikan Allah swt padamu. Baginda saw sentiasa bersama orang-orang sabar kerana sabar adalah sifat yang tabiat orang-orang mukmin. Tidakkah kamu ketahui sifat sabar Nabimu tatkala mana beliau menghadapi manusia yang mendustakannya. Manusia itu bukan berpenyakit sepertimana penyakit yang menyerang anggota tubuh, tetapi mereka itu sakit dengan kejahilan dan kesesatan. Hendaklah engkau ketahui bahawa, penyakit kejahilan dalam kesesatan itu lebih berat sakitnya. Mengapa? Kerana penyakit ini menyebabkan manusia tiada hubungan dengan Tuhannya. Apabila tiada hubungan, maka tiada rahmat, tiada petunjuk, tiada berkat dan tiada kasih dari Tuhan. Inilah yang difirmankan Tuhan.

Maksudnya : Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik. Al-Ma`arij : 5

Sabar merupakan perintah Tuhan. Sudahkah kamu ketahui siapakah Tuhanmu? Sudahkah kamu ketahui bagaimana cara untuk mengadakan hubungan agar hatimu tidak terputus dengan Tuhanmu? Hendaklah kamu ketahui, ia adalah sabar. Dengan kesabaran hubunganmu dengan Tuhanmu tidak mungkin terputus. Mengapa demikian? Kerana kamu sabar untuk taat pada setiap perintah-perintahNya. Kamu sabar sewaktu kamu menyembahNya kerana itulah ikatanNya. Oleh itu namamu sedang berada dalam hatiNya, dalam genggamanNya dan dalam pandanganNya. Tuhanmu memujimu dengan sifat kesabaranmu itu. Namamu terkenal dikalangan para MalaikatNya, didalam majlis-majlis mereka dan di dalam sebutan para makhluk yang lain. Adakah kamu mengharapkannya? Tentunya tidak, akan tetapi inilah balasan dan ganjaran atas kesabaranmu. Inilah yang difirmankan Tuhan.

Maksudnya : Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu...al-Baqarah : 45

Tuhan sangat-sangat menyayangimu. Mengapa? Kerana kamu hanya meminta padanya. Setiap pergerakkan dalam ibadahmu, lintasan dan bisikan hatimu, rintihan dan tangisanmu hanya untukNya. Begitu juga hidup dan matimu hanya untukNya. Oleh itu hendaklah kamu rasai kehadiran kasih-sayang Tuhanmu, rahmatNya, cintaNya dan berkatNya dalam sifat sabar itu. Tidaklah Tuhanmu mengurniakan ujian dan demi ujian padamu melainkan Tuhanmu terlebih dahulu Ia telah kurniakan sifat sabar itu dalam dirimu, jiwamu, hatimu, pernafasanmu, akalmu, rasa-rasa pada setiap anggota tubuh badanmu. Mengapa? Kerana Dia mahu kamu bersamaNya. Walaupun di mana kamu berada, walaupun dalam kegelapan malam, walaupun di tempat-tempat sunyi dan walaupun lemahnya jasadmu menanggung ujianNya.

Wahai anakku berbaik-sangkalah kepada Tuhanmu…

Hendaklah sifat ini kamu wujudkan dan hadirkan dalam setiap keadaan. Mengapa? Kerana kamu tidak tahu sama ada pada akhir hayatmu, dalam tarikan nafasmu yang keluar darimu dan kemudian engkau meninggal serta menemui Allah dalam keadaan berbaik-sangka kepadaNya. Berbaik-sangka yang aku maksudkan ialah jangan berputus asa daripada Rahmat dan Kasih Sayang Allah swt. Hendaklah kamu sentiasa bersedia menghadirkan segenap jiwa ragamu untuk menghampiri kepadaNya. Hendaklah kamu lakukan dengan segenap kemampuan dalam setiap waktu dan keadaan. Ketahuilah, manusia sering menyebut tentang khalifah, awal kekhalifahan bagimu adalah kekhalifahanmu atas dirimu. Kerana, engkau adalah khalifahNya di atas bumi badan-badanmu dan juga kepimpinananmu atas anggota-anggota badanmu dan kekuatanmu itu ada yang tampak jelas dan ada yang tersembunyi. Kedekatan Allah padamu seperti kedekatanmu padaNya. Apabila kamu bergerak untuk hampir kepadaNya, nescaya Dia juga akan bergerak menghampirkan DiriNya kepadamu.

Wahai anakku lazimkanlah dirimu dengan perbuatan baik….

Biasakanlah dirimu berniat untuk melakukan kebaikan walaupun kadang-kadang kamu mungkin tidak melakukannya. Kebaikan pastinya datangnya daripada Allah swt Yang Maha Baik dan Maha Memberi Kebaikan. Kebaikan itu adalah cahaya hatimu. Semakin terserlah kebaikanmu untukNya, makin terserlahlah cahaya hatimu. Kebaikan adalah petunjuk dan didikan Allah swt untukmu. Bersiap sedialah untuk menerima setiap kebaikan yang di ilhamkan kepadamu. Kebaikan yang terserlah ialah Dia memberi kefahaman kepadamu tentang DiriNya, kemudian Sifat-sifatNya, kemudian PerbuatanNya, kemudian Dia pasti memberi kefahaman kepadamu mengenai diri, sifat dan perbuatan RasulNya yang tercinta. Setelah itu kamu akan benar-benar memahami mengenai manhaj agamaNya, apa yang diperintahNya, apa yang dilarangNya, apa yang disukaiNya dan apa yang dibenciNya.

Kamu tidak akan menerima kebaikan melainkan kebaikan itu telah ditentukan untukmu. Redhalah kebaikan yang hadir daripadaNya sepertimana Dia meredhai kebaikan kamu kepadaNya. Niat untuk melakukan kebaikan merupakan tapak dan tangga pertama dalam melangkah mengerjakan kebaikan. Niat yang bersih pasti mewujudkan perbuatan yang bersih dan perbuatan yang bersih pastinya disebut sebagai kebaikan. Kerana Allah swt mahu hamba-hambaNya bersifat bersih dari kekotoran zahir mahupun batin. Kebaikan zahir adalah perbuatan anggotamu yang mencintai dan berminat dengan hal-hal keindahan dan sifat belas kasihmu terhadap makhlukNya dan kamu bergerak dengan angota-anggota itu dan kebaikan batin pula adalah pula adalah perbuatan hatimu yang sentiasa berminat dengan hal-hal keajaiban dan rahsia-rahsia pada DiriNya dan diri RasulNya. Kebaikanmu akan diperlihatkan kepadamu melalui mimpi-mimpimu yang indah dan cubaan yang diberikan Allah swt kepadamu. Ingatlah cubaan yang kamu sedang hadapi itu adalah kebaikan dariNya kerana Dia tidak mengabaikanmu untuk diuji, bukankah ujian itu dapat menentukan kejayaan seseorang?, bukankah ujian itu suatu kebaikan yang mana dengannya kamu pasti mengetahui kedudukan dirimu. Lebih-lebih lagi ujian itu hadir dariNya, pasti jiwamu makin gembira kerana Dia sedang memerhatikan jawapan dari ujianmu itu. Alangkah istimewanya jika sewaktu itu Dia disampingmu dan alangkah istimewanya ketika itu sekiranya kamu hanya mengharap hanya padaNya. Bukankah itu hubungan yang terbaik bagi seorang hamba pada TuhanNya? Bukankah itulah kesempurnaan kepada semua sifat-sifat kebaikan?. Maka ketika itu pasti Dia akan menyinari hatimu dengan cahayaNya. Dia pasti mengenalkanmu kepada para MalaikatNya kerana kamu ketika itu berada dalam genggaman dan tanganNya.

Wahai anakku.

Aku telah menyampaikannya….


 

No comments:

Post a Comment