Sunday, April 25, 2010

Lafaz yang Agung

Berkata Ustaz Muhammad Syamsol..

"Lafaz yang Agung lagi tunggal, tidak dapat dipecahkan, di dua dan di tigakan, tiada Nama yang sama dan sebanding denganNya".

Katanya lagi,

"Dialah Zat yang wajib wujud, mustahil al-Haqq itu adanya permulaan sepertimana alam kerana bertentangan dengan Azali dan Abadi".

Hendaklah bagi hati hamba yang telah bermakrifah itu mengetahui rahsia-rahsia di sebalik lafaz Allah swt. Lafaz Allah ini juga dikenali sebagai lafaz Jalalah. Lafaz Allah memiliki dalam kedudukan Zat dan mempunyai beberapa sifat. Lafaz ini juga menunjukkan kepada Dia yang menciptakan segala-galanya di atas alam ini. Dialah juga yang mempunyai nama-nama lain selain nama bagi ZatNya sendiri. Setiap nama-nama Allah swt tenggelam di dalam ZatNya dan nama-nama ini keluar masuk, naik turun di dalamnya. Di samping itu lafaz Allah terbit di pelbagai tempat dan tingkatan, akan tetapi tidak dibenarkan untuk mengkaji atau mendalami hakikat ZatNya ditempat dan tingkatan itu. Ketahuilah bahawa, lafaz Allah yang berada di tempat dan tingkatan itu ialah pemberi makna seperti yang terkandung di dalam setiap nama daripada asmaul husnaNya, sehinggalah pada akhirnya lafzul Jalalah atau Allah ini meliputi bagi nama-namaNya yang lain. Oleh itu tidak layak bagi hamba itu mengagungkan yang lain daripada Allah swt. Lafaz Allah ini juga tidak boleh dijadikan sebagai lafaz tasniyah (menunjukkan jumlah dua) dan begitu juga sebagai lafaz jamak (jumlah lebih dari tiga). Inilah yang difirmankan Allah swt,

Maksudnya : "Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu. Maka sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya. Adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya?". Surah Maryam ayat 65.

Maksud pada lafaz "Adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya", yakni adakah wujudnya tuhan lain yang mempunyai nama yang sama dengan lafaz Allah dan mempunyai kekuasaan dan keagungan sepertiNya?. Oleh itu perhatikan wahai hati yang bermakrifah!, lafaz Allah ini menunjukkan kepada Dialah sahaja yang al-Maujud (yang Maha Ada), yang Haq (yang Maha Benar), yang menghimpun seluruh sifat-sifat Ilahiyah (Ketuhanan), yang disifati dengan sifat-sifat Rububiyah (Pemelihara), Dialah Zat yang wajib ada dan sentiasa ada dan tidak pernah tiada.


 

"Ya Allah dengan kemulian NamaMu yang Agung…Kami hanya meminta padaMu, maka perkenankanlah".

No comments:

Post a Comment