Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol dalam kuliah tasawufnya yang terbaru,
"Kesungguhan bukan perkara yang dikhayalkan atau di angan-angankan, tetapi wujudnya perlaksanaan yang segera".
"Jika kamu berminat dengan anugerahNya, maka bersungguhlah dalam menuntut ilmu".
Ketahuilah wahai pejuang ilmu!, ilmu tidak dapat dicapai dan diraih melainkan dengan kesungguhan. Jadikanlah permulaan pada awal siangmu dengan menuntut ilmu. Belajarlah dan beristiqomahlah walaupun bermula daripada rumahmu sendiri. Ketahuilah juga bahawa, semakin bertambah keletihan dan kesukaranmu dalam menuntut ilmu, maka semakin bertambah mulialah ilmu yang dipelajari. Kemulian tidak mungkin dapat dicapai dengan jalan mudah dan bersifat malas,melainkan dengan kerajinan dan usaha yang berterusan. Tidak mungkin bagi seseorang yang menyibukkan dirinyapada siang harinya dengan dunianya dan menyibukkan waktu malamnya dengan teman-temannya akan menjadi seorang yang faqih. Untuk menjadi hambaNya yang berilmu maka pengorbanan masa, tenaga, diri dan harta perlu ada bagi seseorang yang mahu meraih kunci-kunci khazanahNya itu. Seseorang perlu membawa tintanya, buku catatannya dan akal budinya yang bersih untuk mencatat segala rahsia-rahsia ilmu dan cabang-cabangnya. Teruskan mendengar dan mempelajarinya sehingga ajal menjemputmu, kerana ganjarannya adalah syurga. Seperti mana diriku telah meriwayatkan hadis yang bersambung sanadnya kepada baginda mulia, sabda Nabi saw,
لَنْ يَشْبَعَ الْمُؤْمِنُ مِنْ خَيْرٍ يَسْمَعُهُ حَتَّى يَكُونَ مُنْتَهَاهُ الْجَنَّةُ "
Maksudnya : Seorang mukmin sekali-kali tiudak akan merasai kenyang daripada kebaikan (ilmu). Dia akan terus mendengar dan mempelajari ilmu sehingga (maut menemuinya) dan akhir tempatnya adalah syurga. Hadis riwayat Ilmam at-Tirmizi.
Wahai pejuang ilmu!, bermujahadahlah dan teruskan mujahadahmu itu, nescaya dirimu akan melihat hasilnya. Seharusnya seorang pejuang ilmu itu perlu menundukkan hawa nafsunya sewaktu menuntut ilmu kerana hawa nafsumu itu akan sentiasa melemahkan semangatmu dalam berjuang mendapatkan kemulian ilmu. Oleh itu hendaklah zikir-zikir dan wirid-wiridmu menjadi benteng dalam jiwamu agar hawa nafsu tidak melemahkan semangat mujahadahmu. Berdisiplinlah juga sewaktu menuntut ilmu, kerana disiplin ilmu tidak akan dicapai dengan angan-angan, tidak pula dengan kata-kata akan, mudah-mudahan atau seandainya aku. Ketahuilah bahawa, ilmu dan kemuliaannya tidak akan dicapai kecuali terhadap mereka yang bersungguh-sungguh dan menguatkan keyakinannya terhadap dirinya. Ketahuilah juga bahwa, takkan mungkin kemuliaan, manfaat, kebaikan dan cahaya ilmu itu diperolehi daripada para pemalas. Oleh itu, bangunlah dan sedarkanlah dirimu tentangnya, kelebihan dan kemuliaannya. Datanglah ke majlis-majlis dank e taman-tamannya. Di sana nanti dirimu akan melihat gedung-gedung dan khazanah-khazanahnya. Hanya waktu dan masa sahaja yang memisahkan dirimu dengannya. Berlumba-lumbalah untuk meraihnya dan tekunlah sewaktu mempelajarinya.
Ingatlah bahawa!, ilmu itu adalah cahaya dan pelita bagi hati. Ilmu adalah kunci ma`rifahmu kepadaNya. Manusia diperintah menyembahNya dengan ilmu yang datang daripadaNya juga. Ingatlah bahawa, hanya manusia yang jahil sahaja yang tidak mengenalnya. Wahai kamu!, janganlah dirimu menjadi manusia yang jahil kepadaNya, walaupun ketika itu kamu mengaku kamu jahil tentangNya. Inilah basit namanya. Jika manusia itu jahil dan tidak mengaku ia sebagai yang jahil, maka ini murokab namanya. Hendaklah dirimu hindarkan menjadi seperti keduanya.
"Ya Allah, kurniakanlah kamu kesungguhan dan istiqomah".
No comments:
Post a Comment