Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol dalam kuliahnya,
"Musibah tidak akan ditimpakan kepada hamba-hambaNya yang sedang asyik berzikir kepadaNya"
Katanya lagi,
"Berapa ramainya mereka yang berpagi dan berpetang, tetapi pagi dan petang mereka tiada nilai" (yakni bagi mereka yang lalai tidak berzikir dalam dua waktu itu".
"Dua waktu ini (pagi dan petang) kamu tidak berzikir kepadaNya, kamu dianggap orang yang telah lupa padaNya sehari semalam".
"Tanda cinta ialah dengan banyak atau sentiasa mengingati yang dicintainya, jadi jika al-Haqq tempat cintamu, mengapa kamu berdusta mengatakan cinta padaNya, sedangkan kamu lalai untuk tidak mahu mengingatiNya"
Ketahuilah bahawa, hati yang bermakrifah itu pastinya akan mencari sesuatu yang dapat memberi keasyikan, kelazatan dan kemanisan untuknya. Ketahuilah juga bahawa, berzikrullah adalah salah satu caranya. Dengan zikrullah, pastinya hati akan semakin bermakrifah dan hal itu boleh mendatangkan akhlak pada hati. Adapun akhlak dengan zikrullah itu ialah dengan sentiasa mengingati Allah swt pada setiap keadaan. Banyak berzikrullah pada waktu pagi dan petang merupakan perintah daripadaNya, sepertimana firmanNya,
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadanya pada waktu pagi dan petang. Surah al-Ahzab ayat 41 dan 42.
FirmanNya lagi,
Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Surah Ali Imran ayat 191.
Ketahuilah wahai hamba yang mempunyai hati!, akhlak zikrullah itu ialah dengan banyak mengingatiNya. Itu adalah tanda cinta kepadaNya. Apabila hamba mengingatiNya pasti hatinya merasai nikmat dan dari itu dapat menambahkan kesyukuran hamba padaNya. Akhlak dengan zikrullah itu juga antara lainnya ialah menghindari semua dan setiap laranganNya dan mengerjakan perintahNya. Firman Allah swt,
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu. Surah al-Maidah ayat 11.
Kata Ustaz Muhammad Syamsol lagi,
"Bila kamu berzikir kepadaNya, maka Dia sedang bersama kamu, jadi apa perasaan kamu jika Dia yang menciptakan alam seluruhnya ini sedang bersama kamu?".
"Bersyukurlah kamu kepadaNya, dalam keadaan lalai kamu kepadaNya, tetapi Dia tetap mengilhamkan kepadamu agar kamu ingat kepadaNya".
Hendaklah hamba mengetahui bahawa dengan zikrullah itu dapat menunjukkan dan membuktikan akhlak hamba itu sebagai seorang islam yang mukmin. ia menjadikan zikrullah sebagai petunjuk dalam kehidupannya. Inilah merupakan akhlak yang agung yang menandakan kekuatan iman hamba. Nabi saw pernah bersabda, Allah berfirman, "Barangsiapa yang mengingatiKu, maka Aku mengingatinya dalam diriKu. Barangsiapa yang mengingatiKu di hadapan sekelompok manusia, maka Aku akan menyebut-nyebut dan mengingatinya di sebuah kelompok malaikat yang lebih baik dari kelompoknya". Hadis sahih al-Bukhari. Sabda Nabi saw lagi, "Sesungguhnya Allah berfirman",
أَنَا مَعَ عَبْدِي إِذَا هُوَ ذَكَرَنِي وَتَحَرَّكَتْ بِي شَفَتَاهُ
Maksudnya : Aku bersama hambaKu ketika dia berzikir kepadaKu dan ketika kedua bibirnya bergegak menyebutKu. Hadis sahih al-Bukhari, Ahmad dan Ibnu Majah.
Hadis ini mengajar hati hamba agar mengetahui bahawa Allah swt semtiasa bersama hamba-hambaNya ketika mereka berzikir kepadaNya. Wujud kebersamaan ini adalah Allah swt memandang dan memperhatikan hambaNya dengan sinaran rahmatNya dengan memberikan hambaNya taufoq dan bimbinganNya. Firman Allah swt,
Maksudnya : Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas Arasy; ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. dan ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha melihat akan apa yang kamu kerjakan. Surah al-Hadid ayat 4.
"Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang ingat kepadaMu lebih besar daripada lalai kepadaMu".
No comments:
Post a Comment