Ketahuilah wahai hamba-hamba Allah, perintah berakhlak pada hati itu merupakan perintah daripada Allah swt. Allah swt menginginkan pada setiap hamba-hambaNya bersifat ikhlas dalam semua bentuk ibadah kepadaNya. Firman Allah swt,
Maksudnya : Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepadanya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian). Surah Ghofir ayat 14.
FirmanNya lagi,
Maksudnya : Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (Wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala Ibadat dan bawaanmu kepadaNya. Surah Zumar ayat 2.
Ketahuilah wahai hamba-hambaNya yang telah bermakrifah!, janganlah sesekali kamu membiarkan dirimu terjelumus ke lembah kemaksiatan. Hindarilah sifat-sifat yang boleh membatalkan semua amalanmu itu. Ketahuilah bahawa, Allah swt tidak akan menerima amalan-amalan hambaNya yang wujud dengan sifat-sifat tercela. Oleh itu, hendaklah dirimu mengambil berat tentang perkara ini kerana ia berkaitan dengan akhlak pada hati. Lebih-lebih lagi ia berkaitan dengan hubunganmu dengan Rabbul Jalil. Semoga Allah swt mengukuhkan kedudukan semua amalan kita, dan kita mengharapkan agar Allah swt sentiasa memberi petunjukNya ke dalam hati kita. Beribadahlah keranaNya dengan ibadah yang benar, tunduk dan ikhlas keranaNya dan sentiasalah bersifat lurus dan istiqomah dalam menjalaninya. Maka menjadi kewajiban atas hamba-hambaNya untuk menjaga semua amalan-amalannya agar tidak dimasuki perkara-perkara yang boleh mengotori dan merosakkannya. Ketahuilah!, amalan hamba itu dibahagikan kepada tiga bahagian,
Pertama : Ikhlas dalam beramal dan ikhlas dalam mencari pahala. Perkara inilah yang diperintahkan oleh Allah swt terhadap hamba-hambaNya. Sepertimana firmanNya,
Maksudnya : Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan yang demikian itulah Agama yang benar. Surah al-Bayyinah ayat 5.
FirmanNya lagi,
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan Agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat (ganjaran) Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah al-Baqorah ayat 218.
Kedua : Tidak ikhlas dalam beramal dan mencari pahala. Perkara ini dilarang keras oleh Allah swt terhadap hamba-hambaNya. Sepertimana firmanNya,
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap Agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri Dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang). Surah an-Nissa ayat 142.
FirmanNya lagi,
Maksudnya : Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang - (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam Ibadat dan bawaannya). Surah al-Maa`un ayat 4-6.
Nabi saw telah bersabda,
مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلاَّ لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا
Maksudnya : Barangsiapa yang mempelajari suatu ilmu yang semata-mata hanya mengharapkan redha Allah Azza Wajja, akan tetapi ilmu yang dipelajari tidak lain hanya untuk memperolehi dunia semata-mata, (maka) dia tidak akan mencium walaupun bau syurga. Hadis riwayat Imam Abu Daud.
Sabda Nabi saw lagi,
" لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ جَنَّةَ عَدْنٍ خَلَقَ فِيهَا مَا لا عَيْنٌ رَأَتْ ، وَلا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ ، ثُمَّ قَالَ لَهَا : تَكَلَّمِي ، فَقَالَتْ : قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ، ثُمَّ قَالَتْ : أَنَا حَرَامٌ عَلَى كُلِّ بِخَيْلٍ وَمُرَاءٍ "
Maksudnya :
Setelah Allah swt mencipta syurga `Adn, Allah swt menciptakan di dalamnya segala macam apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah terdetik di dalam hati seseorang manusiapun, sesudah itu Allah swt berfirman kepadanya, "berbicaralah", maka syurga berkata : Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, kemudian Allah swt berfirman, Aku haramkan ke atas semua yang kedekut (untuk memasukinya). Riwayat al-Bazzar.
Ini membawa maksud bahawa, mereka adalah terdiri daripada orang-orang yang mengharapkan syurga Allah swt di akhirat, tetapi tidak ikhlas dalam beramal.
Ketiga : Ikhlas dalam mencari pahala tetapi tidak ikhlas dalam beramal.
Perkara ini juga adalah dilarang dilakukan dalam agama. Mereka terdiri daripada mereka tidak yang menginginkan nama mereka disebut-sebut dan dipandang tinggi oleh manusia, akan tetapi mereka tetap mengharapkan syurga dan ganjaran-ganjaran daripada Allah swt dengan ikhlas, walaupun begitu mereka tidak ikhlas sewaktu beramal. Mereka mahukan pujian daripada manusia dan kadang-kadang bersifat riak. Amalan mereka semata-mata untuk manusia, akan tetapi pahala tetap mereka mahukan daripada Allah swt.
Telah disebutkan di dalam hadis Nabi saw bahawa pada hari kiamat nanti, orang yang pertama yang akan dibicara ialah orang yang mati syahid. Orang ini akan dibawa di hadapan Allah swt dan Allah swt akan menyebutkan mengenai nikmat-nikmatNya yang telah dikurniakan kepada orang yang mati syahid dan lantas orang itu mengakuinya. Kemudian Allah swt bertanya,
"Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat ini?", jawap si syahid, "Aku berperang kerana untuk mendapatkan redhaMu sehingga akupun syahid". Allah swt berkata kepadanya, "Engkau berbohoong, Engkau telah berjihad supaya orang mengelarkan kamu sebagai seorang yang berani. Akibatnya, si syahid tadi diperintahkan ke neraka jahanam dalam keadaan mukanya diseret.
Orang yang kedua kata Nabi saw ialah orang yang mempelajari agama dan mengajarkannya kepada orang lain dan dia juga membaca al-Quran. Orang ini akan dibawa di hadapan Allah swt dan Allah swt akan menyebutkan mengenai nikmat-nikmatNya yang telah dikurniakan kepada orang yang ini dan lantas dia mengakuinya. Kemudian Allah swt bertanya, "Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat ini?", jawap orang ini, "Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain semata-samata untuk mendapat redhaMu dan aku juga telah membaca al-Quran demi untukMu. Allah swt berkata kepadanya, "Engkau berbohong, engkau mempelajari ilmu supaya orang mengelarmu sebagai orang alim dan kamu membaca al-Quran supaya orang memanggilmu qari (ahli membaca al-Quran). Akibatnya, orang ini juga diperintahkan ke neraka jahanam dalam keadaan mukanya diseret.
Orang yang ketiga ialah orang kaya dimana di dunia dahulu ia telah diberi dengan kemewahan dan segala bentuk harta benda. Orang ini akan dibawa di hadapan Allah swt dan Allah swt akan menyebutkan mengenai nikmat-nikmatNya yang telah dikurniakan kepada orang yang ini dan lantas dia mengakuinya. Kemudian Allah swt bertanya, "Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat ini?", jawap orang ini, aku telah sedekah dan belanjakan harta ke saluran-saluran atau ke tempat-tempat yang Engkau suka dan aku buat semua itu semata-mata keranaMu. Allah swt berkata kepadanya, "Engkau berbohong, engkau berbelanja supaya engkau digelar dermawan". Akibatnya, orang ini juga diperintahkan ke neraka jahanam dalam keadaan mukanya diseret.
Oleh itu, wahai hamba yang telah bermakrifat, lihatlah!, dan perhatikanlah kisah disebalik hadis daripada baginda Nabi saw ini. Ingatlah!, suatu amalan yang ikhlas dilakukan tetapi bukan semata-mata kerana Allah swt pasti akan di azab, walaupun daripada semua amalan tadi mahukan ganjaran dan pahala daripada sisi Allah swt.
Dalam hadis lain disebutkan juga bahawa, Nabi saw telah bersabda,
إِذَا جَمَعَ اللَّهُ الْأَوَّلِينَ وَالْآخِرِينَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيهِ نَادَى مُنَادٍ مَنْ كَانَ أَشْرَكَ فِي عَمَلٍ عَمِلَهُ لِلَّهِ فَلْيَطْلُبْ ثَوَابَهُ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنْ الشِّرْكِ
Maksudnya : Apabila Allah swt telah menghimpun semua manusia yang terdahulu dan terkemudian pada hari kiamat, dimana itulah hari yang tidak boleh diragukan lagi mengenai kedatangan harinya, maka akan diserukan dengan satu seruan, "sesiapa yang beramal untuk Allah, akan tetapi sewaktu beramal juga dia lakukan kerana manusia (menyekutukan Allah dalam beramal), maka hendaklah dia menuntut pahala daripada orang itu, ini kerana Allah swt adalah Zat yang tidak memerlukan perkongsian berbanding para pengkongsi yang lain. Hadis riwayat Imam at-Tirmizi.
Ini membawa maksud bahawa Allah swt tidak memerlukan perkongsian berbanding semua orang-orang yang berkongsi sesama mereka. Oleh itu ketahuilah wahai hamba-hambanya yang memerlukan pembetulan dalam segenap amalan dan niat, khususkanlah amalan dan niatmu itu hanya untukNya, tidak dikongsi buatNya dan buat manusia. Sepertimana semua di atas dunia ini daripadaNya, maka selayakNya hanya kepada Dialah yang patut diserahkan kembali.
Dalam hadis lain disebutkan, Nabi saw bersabda,
تَعوَّذُوا باللهِ مِن جُبِّ الحزَن ، قالوا: يا رسولَ الله وما جُبُّ الحزن؟ قال : وادٍ في جهنم، تَتعوَّذُ منه جهنمُّ كلَّ يومٍ مائة مرة، قيل: يا رسول الله، ومَن يدْخلُهُ ؟ قال: القُرَّاءُ المُرَاؤونَ بِأَعمالهم
Maksudnya : Hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah swt daripada Jubbil Huzni. Sahabat Nabi saw bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan Jubbil Huzni?, jawap Nabi saw, Ia merupakan satu lembah di neraka yang neraka sendiri meminta perlindungan daripadaNya sebanyak seratus kali dalam sehari. Rasulullah saw ditanya lagi, siapakah yang akan memasukinya? Jawap Nabi saw, bagi pemba-pembaca al-Quran yang melakukan amalan mereka itu hanya untuk menunjuk-nunjuk. Hadis riwayat Imam at-Tirmizi.
Wahai hamba-hamba Allah sekalian, lihatlah dan renungilah apa yang telah disabdakan oleh Nabimu itu. Hendaklah kita sentiasa meminta pelindungan kepadaNya agar setiap amalan kita diterima olehNya sebagai amalan soleh yang jauh daripada unsur-unsur syirik kepadaNya. Nabi saw memerintahkan agar kita meminta pelindungan daripada Allah swt daripada nerakaNya. Lihatlah dan perhatikanlah bahawa neraka juga meminta perlindungan kepada Allah swt agar tidak dimasukkan ke suatu lembah yang lebih dahsyat lagi. Wahai hamba-hambaNya yang bermakrifah, tanyalah dirimu sama ada bacaan al-Quranmu itu hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia atau kerana hanya untukNya?. Perbaikilah niatmu kembali, pusatkan segala ilmumu, amalanmu dan niatmu hanya untukNya. Adapun salah satu kemulian yang dikurniakan Allah swt kepada hamba-hambaNya adalah dipermudahkan untuk dirimu beristiqomah dalam melaksanakan semua amalan-amalan kebaikan dan disamping beristiqomah juga dalam meninggalkan dan tidak melakukan amalan-amalan keburukan. Adakah layak bagimu setelah Allah swt memberimu nikmat dan kebaikan itu, maka dirimu menunjukkan dan membalasnya dengan amalan keburukan kepadaNya?. Maka perhatikanlah!, renungilah semua daripada apa yang telah daripada daripada Allah dan RasulNya.
Wa Allahu `Alam.
"Ya Allah terimalah amalan-amalan kami".