Sunday, April 25, 2010

Ilmu Usuluddin

Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol di dalam kitab beliau yang berjudul (Persoalan Aqidah yang wajib diketahui oleh umat Islam), dalam fasal yang pertama, persoalan yang berkaitan Ilmu Usuluddin. Beliau telah berkata,

"Alhamdulillah, selawat dan salam dicurahkan kepada Nabi Muhammad saw yang telah diutus sebagai seorang Rasul yang membimbing manusia ke jalan kebenaran. Perlu diketahui bahawa Ilmu Usuluddin merupakan antara ilmu-ilmu yang paling mulia dan dikehendaki bagi umat Islam untuk mempelajarinya. Ilmu ini dikaitkan dengan aqidah atau pegangan manusia terhadap apa yang telah diturunkan oleh Allah swt. Ia berkaitan dengan kepercayaan manusia terhadap Tuhan yang selayaknya mereka puja, puji dan sembah. Dengan ilmu ini, hati manusia yang tertutup dibuka oleh Allah swt sehingga mereka mengetahui dan mengenali bahawa hanya Allah swt sahajalah sebagai Tuhan yang disembah dan tidak sesekali menduakan, mentigakan atau beri`tiqad bahawa Allah swt mempunyai sahabat atau teman yang Dia jadikan juga sebagai sembahan. Begitu juga dengan ilmu ini, manusia dapat mengetahui bahawa Allah swt sebagai Zat atau Tuhan yang disembah dan Dialah Tuhan yang mempunyai Nama-nama yang indah. Begitu juga dengan ilmu ini, manusia akan mengetahui bahawa Allah swt mempunyai Sifat-sifat dan Perbuatan yang hanya layak disifati atas DiriNya sendiri. Inilah ilmu yang dikaitkan dengan usul agama Islam itu sendiri dan dengan ilmu ini dapat mengukuhkan kepercayaan seseorang terhadap apa yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad saw. Akal manusia adalah bersifat terbatas untuk mengetahui sesuatu tentang Dia yang telah menciptakan alam ini. Maka oleh itu, Allah swt mengutus para Rasul untuk memperkenalkannya dan menyeru manusia ke arah ilmu ini dan inilah sifat Rahmat kasih sayangNya kepada manusia yang terdiri daripada hamba-hambaNya.

Ilmu Usuluddin merupakan landasan agama yang sempurna dan sebenar serta inilah satu-satunya agama yang direhdai oleh Allah swt. Kita sebagai hambaNya diperintah untuk berpijak di atas agama yang sempurna ini agar dengannya kita diselamatkan Allah swt daripada diseksa di dalam nerakaNya. Manusia diseru untuk melaksanakan semua perintah-perintahNya, sama ada perintah itu termasuk perintah suruhan atau larangan. Maka dengan ilmu ini membentangkan hal yang berkaitan dengan perintah-perintahNya tadi. Termasuklah manusia diperintah agar mentauhidkan Allah swt dan perintah agar tidak mensyirikkanNya. Ilmu ini juga merupakan titik pertama atau anak kunci dalam dakwah para Rasul yang diutus Allah swt. Manusia diseru kepada satu jalan, yakni jalan para Rasul, satu agama yakni Islam, satu Tuhan yakni Allah swt, satu landasan yakni al-Quran. Ilmu ini mengajar manusia agar tidak mencari jalan, agama, Tuhan dan landasan yang lain.

Nabi Muhammad saw sebagai Rasul yang telah membawa jalan, agama dan landasan ini. Tidak pula baginda mengajak manusia agar menyembahnya dan tidak pula baginda mengajak manusia dengan hawa nafsunya. Apa yang dibawa olehnya adalah datangnya daripada Allah swt yang merupakan wahyu yang diwahyukan kepadaNya. Tidak sesekali baginda Nabi saw berbicara dan menghukum melainkan hanya dengan wahyuNya. Permulaan pada ilmu ini mengajar dan mendidik manusia mengenali Allah swt, Nama-namaNya, Sifat-SifatNya dan perbuatanNya. Ilmu ini mengajar manusia tentang kepercayaan yang wajib mereka i`tiqadkan. Inilah juga ilmu yang menjamin orang yang berpegang dan mengamalkannya dengan jaminan bahawa Allah swt tidak akan memasukkannya ke dalam lembah kesesatan di dunia dan kecelakaan di akhirat. Inilah juga ilmu yang dapat mengeluarkan manusia daripada lembah-lembah kejahilan ke lembah keselamatan dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Manusia yang berpegang teguh dengan ilmu ini tidak akan terjelumus ke dalam fitnah melainkan ia dapat keluar daripada fitnah tersebut.

Ilmu Usuluddin juga dikaitkan dengan ilmu yang wajib umat Islam bersandar dengannya. Di atas ilmu ini diletakkan dan dibina dasar-dasarnya, maka selayaknya bagi umat Islam hanya mengambil sesuatu untuk diamalkan bersumberkan dasarnya tadi. Inilah ilmu asas bagi ilmu Islam itu sendiri. Manakan mungkin seseorang itu menyembah kepada Tuhan yang tidak ia mengenalinya. Maka ilmu inilah yang mendatangkan asas atau kunci ilmu pengetahuan dalam ilmu-ilmu Islam yang ada. Ilmu usuluddin merupakan ilmu yang sentiasa berada dalam keadaan tetap dan teguh. Maka selayaknya manusia itu sentiasa berpegang dengan sesuatu yang tetap dan teguh. Inilah yang dimaksudkan oleh kami (penulis) menganai takrif Ilmu Usuluddin daripada sudut bahasa.

Ilmu Usuluddin merupakan tiang asas yang wajib ketahui oleh semua umat Islam. Ilmu ini adalah hakikat pada imu agama Islam itu sendiri. Ilmu ini bukan ilmu yang wujud dengan khayalan atau ilmu yang dipelajari dengan bersadarkan logik akal semata-mata. Ia benar-benar ilmu yang nyata dan sebenar-benar ilmu. Apabila disebut ilmu maka ia datangnya daripada Allah swt, ia benar-benar ilmu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw, kemudian diteruskan oleh para sahabat selepasa kewafatannya dan kemudian dipelihara di dalam dada ulama-ulama dahulu dan sekarang dan sehinggalah ilmu ini dipelajari oleh umat Islam pada hari ini. Inilah juga ilmu yang mendatangkan kaedah-kaedah umum yang wajib dipelajari oleh umat Islam. Kaedah-kaedah ini dibina agar memudahkan umat Islam mempelajarinya. Tidaklah kaedah-kaedah ini dibina melainkan ia didatangkan juga dengan asas atau usul pada kaedah itu sendiri, yakni al-Quran dan as-Sunnah. Maka ilmu ini dikaitkan juga dengan asal kaedah dan juga disebut sebagai ad-Dalil. Hal ini yang dimaksudkan kami berkenaan ilmu ini dari sudut istilah agama. Walaupun begitu tidak semua umat Islam diwajibkan untuk mengetahuinya secara mendalam sekiranya mereka tidak berupaya untuk melakukannya. Hal ini dihukum ke atas para mukallaf daripada kebanyakkan umat Islam dan mereka terdiri daripada orang-orang awam. Walaupun begitu wajib bagi mufti, mujtahid, ulama hadis dan hakim untuk memdalami ilmu ini kerana mereka adalah golongan yang berfatwa buat umat Islam.

Inilah juga ilmu yang berkaitan bagaimana manusia diperintah untuk berpegang dengan wahyu Ilahi yakni al-Quran dan as-Sunnah melalui kaedah pengambilan daripada sumber-sumber asal dan bukannya hanya melalui sumber-sumber yang tidak jelas atau daripada terjemahan dalil semata-mata. Inilah juga ilmu yang mengajar dan mengajak manusia agar berjemaah dalam mengamalkan aqidah dan syariat Islam.

Inilah juga ilmu yang membahaskan dan membicarakan mengenai sifat dan tugas bagi RasulNya menyebarkan risalah Islam kepada seluruh umatnya. Dikaitkan juga dengan ilmu yang membahaskan tentang alam ruhaniat yang wajib diketahui juga oleh umat Islam. Sepertimana yang disebutkan mengenai alam ruh, alam malaikat, alam jin dan sebagainya. Ilmu ini juga membahaskan mengenai perkara-perkara sam`iyat yang wajib diimani seperti kehidupan setelah berlakunya kiamat, hisab, syurga dan neraka. Semua ilmu ini adalah termasuk daripada bahagian daripada perbahasan aqidah Islamiah atau juga disebut dengan ilmu usuluddin. Perbahasan terhadap ilmu ini juga dikaitkan dengan bahagian keimanan daripada Islam itu sendiri. Manakala Islam itu adalah aqidah dan amal. Aqidah merupakan dasar dan amal itu adalah cabang. Tanpa aqidah maka tidaklah adalah Islam, maka apabila tiada Islam maka tiadalah amal".


 

Wa Allahu `Alam.


 

3 comments:

  1. salam ...sy mohon copy ya..hrap dihalalkan.syukran jazilan.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum.. ustaz.. boleh saya tanya

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum.. ustaz.. boleh saya tanya

    ReplyDelete