Suatu hari di dalam kuliahnya, Ustaz Muhammad Syamsol berkata…
"Tanda seseorang yang mencintai Nabinya ialah dengan mengamalkan akhlaknya".
Katanya lagi,
"Jika dirimu mahu melihat orang yang besar cintanya pada baginda mulia (Nabi saw), maka dirimu akan melihat sunah-sunah Nabimu itu ada pada tingkah-laku dan amalan-amalannya".
Hendaklah seseorang yang telah mempunyai hati yang bermakrifah itu mengetahui bahawa hati ini perlu dihubungan dengan semua yang berkaitan dengan perjalanan, akhlak, perbuatan, percakapan dan sunah-sunah Nabi saw. Perlulah diketahui bahawa, berakhlak dengan Nabi saw itu adalah wajib sama ada sewaktu baginda saw masih hidup mahupun setelah wafat. Allah swt telah menganugerahkan sifat-sifat dan adab-adab kesopanan kepada baginda Nabi saw. Akhlak Nabi saw itu adalah al-Quran, maka hati hamba itu perlu duhubungkan dengan ilmu pengetahuan yang membawa kepada pengetahuan terhadap apa yang dikatakan akhlak Nabi saw dengan al-Quran.
Hendaklah seseorang yang mempunyai hati itu mempercayai, mematuhi dan mengikuti sunah-sunah baginda Nabi saw. Inilah sebesar-besar akhlak seseorang hamba dengan Nabinya. Nabi saw ibarat cahaya yang menerangi jalan-jalan di pelusuk alam ini. Hendaklah seseorang hamba sentiasa mengistimewakan kedudukan Nabi saw melebihi kedudukan manusia-manusia lain. Bahkan Nabi saw sendiri lebih mengambil berat terhadap kebajikan orang-orang beriman daripada mereka sendiri. Oleh kerana itu, kewajiban atas kita mengutamakan Nabi saw atas semua manusia. Firman Allah swt,
Maksudnya : Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri. Surah al-Ahzab ayat 6.
Hendaklah perbuatan hati hamba itu dikaitkan dengan perbuatan Nabi saw. Jangan sesekali perbuatan hamba itu mendahului perbuatan Nabinya. Hendaklah hati itu memerhatikan bahawa adakah perbuatannya itu sama dengan apa yang dilakukan Nabi saw. Jangan sesekali menetapkan suatu urusan berdasarkan hati tanpa merujuk terlebih dahulu daripada apa yang pernah ditetapkan oleh Nabi saw. FirmanNya,
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya. Surah al-Hujurat ayat 1.
Oleh itu jangan sesekali menetapkan urusan-urusan hukum, perbuatan dan hubungan sesama manusia sebelum merujuk terlebih dahulu kepada Nabi saw. Inilah akhlak hati seseorang hamba yang mengenal Rasulnya. Allah swt juga telah melarang hambaNya memanggil atau menetapkan kedudukan nama Nabi saw seperti manusia-manusia lain. Hati yang bermakrifah pasti tidak menyamakan kedudukan Nabi saw dengan manusia-manusia lain. Sebutlah baginda dengan panggilan sepertimana yang ditetapkan Allah swt ke atasnya. Baginda Nabi saw adalah Rasul utusanNya, hambaNya, cahayaNya, penutup para Nabi-nabiNya dan kekasihNya. Hendaklah diri hamba sentiasa menolong dan menghormati Nabi saw pada setiap ketika dan masa walaupun hamba itu tidak melihatnya. Menolong dirinya adalah bermaksud menolongnya agamanya, menghormati diri baginda Nabi saw bermaksud menghormati agama yang dibawa olehnya. Nabi saw lebih layak dimuliakan dan disanjung daripada diri hamba itu sendiri. Wujudkan hati dan diri kita sentiasa bersama Nabi saw, ibarat kita sentiasa berada di dalam majlisnya. Hendaklah diketahui bahawa, barangsiapa yang tidak berminat dengan Nabi saw dan mencari jalan untuk lari daripada perintah-perintah baginda Nabi saw, maka hendaklah golongan ini beringat bahawa, mereka sesekali tidak dapat lari daripada musibah dan azab daripada Allah swt.
FirmanNya,
Maksudnya : Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahNya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Surah an-Nur ayat 63.
Kata Ustaz Muhammad Syamsol lagi,
"Penyakit juga ada ubatnya, lebih-lebih lagi perbuatan manusia ada sunah-sunahnya".
"Nabi saw adalah hambaNya yang paling utama dan teristimewa, jadi mengapa mencari cinta selainnya?"
"Apabila kita mengikuti hambaNya yang istimewa, nescaya kita juga akan menjadi istimewa juga".
Oleh itu termasuk akhlak seorang hamba terhadap NabiNya ialah sentiasa mengambil berat dan tidak mengabaikan kewajiban terhadap Nabi saw dan sentiasa mentaati semua suruhan baginda Nabi saw serta tidak melanggar kepatuhan kepadanya. Oleh itu, perbuatan seseorang hamba itu tidak akan ada erti dan manfaatnya sekiranya perbuatan dan sikap hamba berlawanan dengan apa yang telah digariskan oleh Nabi saw, sedangkan Allah swt dan RasulNya telah memperingatkannya mengenai perkara itu.
Hendaklah hamba itu mengetahui, mencintai Nabi saw termasuk akhlak hamba dengan baginda saw. FirmanNya,
Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk AgamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka). Surah at-Taubah ayat 24.
Ayat di atas perlu diketahui oleh semua hamba yang mempunyai hati, bahawasanya Allah swt telah menurunkan ayat ini sebagai nasihat pengajaran, pedoman, bukti dan petanda yang cukup jelas tentang pentingnya mencintai Nabi saw. Perlulah pada setiap hamba itu ketahui, mencintai Nabi saw merupakan suatu kewajipan yang perlu di ambil berat oleh setiap hambaNya kerana hak ke atas Nabi saw itu sendiri bahawa setiap hamba-hambaNya wajib mencintai baginda saw. Allah swt mencela dan mengecam sesiapa yang mana mereka ini lebih mencintai harta benda yang dimilikinya dan anak-anaknya daripada kecintaan mereka terhadap Allah swt dan RasulNya. Allah swt menyatakan bahawa, barangsiapa yang meninggalkan kecintaan terhadap Nabi saw, maka mereka dikira sebagai orang yang bersalah dan Allah swt juga mengkhabarkan bahawa mereka termasuk golongan sesat dan tidak berada di bawah bimbingan Allah swt. Inilah yang disebutkanNya dalam akhir ayat di atas, "maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)".
Hati yang hidup dan berfungsi ialah hati yang sentiasa mencintai Nabi saw melebihi keluarganya, harta-bendanya, diri sendiri dan bahkan manusia seluruhnya. Inilah tanda kejayaan bagi hamba yang mempunyai hati yang bermakrifat. Hati hamba itu merasakan kemanisan, kelazatan, kenikmatan, keasyikan dan sentiasa berusaha mencari jalan untuk menguatkan serta meningkatkan kecintaan mereka terhadap Nabi saw. Oleh itu, hendaklah hati bagi hambaNya sentiasa menjadikan Nabi saw sebagai tuannya, panutannya, contoh ikutan yang terbaik dan rujukan dalam setiap gerak kerja zahir dan batin serta segala hal dalam kehidupan ini. Mengikuti dan mengamalkan apa yang diperintah Allah swt dan RasulNya termasuk tanda dan bukti bagi hamba yang mencintai Nabi saw. Inilah yang difirmankanNya,
Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah Ali Imran ayat 31.
Kata Ustaz Muhammad Syamsol lagi,
"Pintu cinta tidak akan terbuka jika yang mengetuknya bukan ahlinya".
"Tidak mengapa bila digelar gila cinta, tatkalamana yang dicintanya adalah kekasihNya".
Ketahuilah wahai yang mempunyai hati!, ganjaran, balasan dan pahala mencintai Nabi saw itu teramatlah besar. Di akhirat kelak manusia akan dibangkitkan bersama-sama orang yang mereka cintai. Alangkah malang, rugi dan celakalah kepada mereka yang saling mencintai di atas dunia, tetapi sesama mereka tidak dapat menyelamatkan dan memberi pertolongan antara satu lain. Akan tetapi bahagia besarlah, gembiralah, beruntunglah dan berjayalah kepada mereka yang memilih Nabi saw sebagai orang yang dia cintai daripada orang-orang lain di atas dunia. Pastinya Nabi saw akan bersamanya, mensyafaatinya, membimbingnya dan membawanya ke syurga Allah swt. Inilah ganjaran terbesar bagi hamba yang wujud dalam hatinya mencintai Nabi saw dan membuktikan kecintaannya itu dengan amal soleh yang berkekalan. Mencintai Nabi saw menunjukkan ketaatan hamba disebabkan perintah itu datang daripada Allah swt dan RasulNya dan ganjaran bagi si hamba pasti ia akan bersama NabiNya itu di syurga. FirmanNya,
Maksudnya : Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Surah an-Nissa ayat 13.
FirmanNya lagi,
Maksudnya : Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iIaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat). Surah an-Nissa ayat 69.
Sabda Nabi saw, "Barangsiapa yang mencintaiku, maka ia akan bersamaku di dalam syurga".
Sabdanya lagi, "Seseorang akan bersama orang yang dicintainya".
Sabdanya lagi, "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu, sehinggalah aku ini lebih ia cintai daripadanya dirinya sendiri, ahli keluarganya, harta bendanya dan manusia seluruhnya".
Sabdanya lagi, "Ajarilah anak-anak kamu agar mencintaiku...."
"Ya Allah limpahkan selawat dan salam kepada penghulu kami, Nabi Muhammad saw, tinggikan kedudukannya sepertimana yang telah Engkau janjikan".
جزاك اللهُ خيراً
ReplyDelete- زاليها حسين