Saturday, May 1, 2010

Ilmu yang Utama

Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol,


"Di antara yang utama, ada lagi yang lebih utama".


"Kunci bagi segala ilmu adalah ma`rifatullah".


Ketahuilah bahawa, apabila di tanya, di antara banyaknya ilmu-ilmu, manakah ilmu yang paling utama sekali untuk dipelajari?. Kami menjawap, "Ilmu yang berhubungan dengan al-Haqq". Bila ditanya lagi, sedalam mana perlu mempelajarinya?, maka jawap kami, "sekadar yang dirimu mampu walaupun sedikit tetapi kamu termasuk para penuntunya".
Kami maksudkan di sini ialah berkaitan dengan ilmu makrifah dan ilmu ini disebut sebagai ilmu Tauhid serta termasuk dalam ilmu Aqidah. Inilah ilmu yang paling utama untuk dipelajari kerana al-Haqq tidak akan menerima apa sahaja amalan kebaikan sekiranya si pengamal tidak berpegang kepada Aqidah dan landasan sebenar ajaran dan agamaNya. Takkan mungkin seseorang yang beramalan soleh diterima amalannya sekiranya ia masih belum lagi mahu beriman terhadap taqdir yang baik ataupun yang buruk. Begitu juga terhadap perkara-perkara yang lain. Nabi saw pernah ditanya,


يَا رَسُولَ اللهِ ، أَيُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ ؟ قَالَ : " الْعِلْمُ بِاللهِ عَزَّ وَجَلَّ " ، قَالَ : يَا رَسُولَ اللهِ: أَيُّ الأَعْمَالِ

أَفْضَلُ ؟ قَالَ : " الْعِلْمُ بِاللهِ " ، قَالَ : يَا رَسُولَ اللهِ ، أَسْأَلُكَ عَنِ الْعَمَلِ وَتُخْبِرُنِي عَنِ الْعِلْمِ ، فَقَالَ

رَسُولُ اللهِ: " إِنَّ قَلِيلَ الْعَمَلِ يَنْفَعُ مَعَ الْعِلْمِ ، وَإِنَّ كَثِيرَ الْعَمَلِ لا يَنْفَعُ مَعَ الْجَهْلِ "


Maksudnya : Ya Rasulullah, manakah amalan-amalan yang paling utama dan teristimewa?, jawap Baginda, "Ilmu tentang Allah Yang Maha Gagah Lagi Maha Agung (berkaitan dengan ilmu Tauhid)", orang itu bertanya lagi, manakah amalan-amalan yang paling utama dan teristimewa?, jawap Baginda, "Ilmu tentang Allah", orang itu berkata lagi, Ya Rasulullah, aku bertanya kepadamu tentang amalan dan khabarkanlah kepadaku berkaitan dengan ilmunya, maka Baginda berkata, "Sesungguhnya amalan yang sedikit ilmu lebih bermanfaat sekiranya amalan yang dilakukannya itu disertai dengan ilmu, dan sesungguhnya amalan yang banyak tidak dapat memberi manfaat sekiranya disertai dengan kejahilan". Riwayat Ibnu Abi Barr dengan sanad daripada Ibnu Mas`ud dengan riwayat yang soleh (diterima).


Wahai para pejuang!, pelajarilah ilmu-ilmu yang utama. Diriku wasiatkan dirimu agar sentiasa berterusan menjadi ahli ilmu dan mereka adalah para penuntut yang tidak mengenal jemu dan lelah. Selain dirimu diperintah untuk mempelajari ilmu yang berkaitan dengan al-Haqq, dirimu juga diperintah untuk mempelajari ilmu yang berkaitan dengan hukum-hakamNya, sunah-sunah NabiNya dan ilmu Faraid (ilmu waris) untuk melaksanakan keadilan. Seperti mana yang disabdakan oleh Nabimu yang mulia,


"الْعِلْمُ ثَلَاثَةٌ وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ فَضْلٌ آيَةٌ مُحْكَمَةٌ ، أَوْ سُنَّةٌ قَائِمَةٌ ، أَوْ فَرِيضَةٌ عَادِلَةٌ "


Maksudnya : Ilmu itu ada tiga dan selain daripadanya adalah tambahan, pertama ialah ilmu muhkam (hukum-hakam), kedua ialah sunah yang ditegakkan, ketiga ialah ilmu faraid yang adil. Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.


Ketahuilah wahai hambaNya yang telah bermakrifah!, khazanah ilmu itu tertutup sehinggalah para penuntut ilmu datang membuka dengan kuncinya. Maka hendaklah kamu hadir ke halaqoh-halaqoh ilmu dengan membaca kuncinya. Ketahuilah bahawa, kuncinya adalah dengan bertanya. Tidak akan ditimpa kerugian buat selama-lamanya bagi mereka yang bertanya tentang ilmu yang di amalkan, bahkan al-Haqq akan sentiasa merahmatinya. Dengan pertanyaan, mereka dikurniakan pahala daripada al-Haqq, seperti mana yang disabdakan oleh Baginda Nabi saw,


" الْعِلْمُ خَزَائِنُ وَمِفْتَاحُهَا السُّؤَالُ ، فَاسْأَلُوا يَرْحَمْكُمُ اللَّهُ ، فَإِنَّهُ يُؤْجَرُ فِيهِ أَرْبَعَةٌ : السَّائِلُ ، وَالْمُعَلِّمُ ، وَالْمُسْتَمِعُ ، وَالْمُجِيبُ لَهُمْ "


Maksudnya : "Ilmu itu adalah khazanah yang tersimpan dan kunci untuk membukanya adalah dengan pertanyaan, maka bertanyalah, Allah akan merahmati kamu, maka sesungguhnya Dia akan memberi balasan pahala disebabkan pertanyaan tadi kepada empat golongan, pertama ialah yang bertanya, kedua ialah guru, ketiga ialah orang yang mendengar dan keempat ialah mereka yang menyahut (mencintai)semua golongan itu." Riwayat Abu Na`im.



"Ya Allah, hidupkanlah hati-hati kami dengan ilmu dan limpahan RahmatMu"

No comments:

Post a Comment