Sunday, May 16, 2010

Cahaya-cahaya Ilmu dan Amal

Berkata Ustaz Muhammad Syamsol Osman,


 

"Dialah Zat yang disifati dengan an-Nur (Yang Maha Bercahaya), mintalah kepadaNya, nescaya Dia akan berikannya kepadamu".


 

"Sepertimana kata-kata hatimu sukar di hakikatnya, begitu juga cahaya daripada cahayaNya".


 

"Adakah dirimu mendengar apa yang diperkatakan oleh hatimu sepertimana dirimu mendengar melalui lidah seseorang?, tentunya tidak… begitulah juga sifat cahayaNya". (Yakni hakikat cahaya Ilmu dan Amal itu tidak boleh dihakikatkan sepertimana mata yang melihat cahaya matahari, bulan dan bintang).


 

Ketahuilah bahawa, cahaya wujud di dalam ilmu dan amal. Bukanlah pula cahaya itu wujud di dalam ilmu dan amal melainkan ia hadir dan datang daripada al-Haqq. Bukan pula disebabkan banyaknya mengumpul riwayat dan maka kerana itu makin bersinar dan bercahayalah ilmunya, akan tetapi cahaya itu adalah kurniaan al-Haqq kepada hamba-hambaNya dan al-Haqq memasukkannya kedalam hati hamba-hambaNya yang terpilih. Imam Malik pernah berkata,


 

"Ilmu bukanlah dengan mengetahui banyaknya riwayat, melainkan ilmu adalah cahaya yang Allah masukkan ke dalam hati seseorang".


 

Telah berkata pula para `Arifbillah,    


 

"Ilmu jika terletak di hati, merupakan cahaya, dan sekiranya terletak di dalam diri, merupakan api".


 

Ketahuilah wahai penuntut ilmu!, perhatikanlah ilmu yang telah dipelajari olehmu dan tanyakanlah kepada dirimu, adakah dengan ilmu yang telah di pelajari olehmu itu benar-benar telah menjadikan dirimu takut kepada al-Haqq?. Ketahuilah bahawa, kesan bagi mereka yang telah memperolehi cahaya ilmu ini ialah dengan bertambahnya pengenalannya terhadap dirinya sehingga tersingkap di depannya pelbagai jenis ilmu lagi yang membuatkan dirinya merasai bahawa banyak ilmu yang belum dan tidak ia mengetahuinya. Berkata ulama tasawuf,


 

"Berapa banyak pohon-pohon, tetapi tidak semuanya mengeluarkan buahnya, betapa banyak pula buah-buahan, akan tetapi tidak semuanya baik. Berapa banyaknya ulama, tetapi bukan semuanya menjadi pembimbing dan pendidik. Berapa banyaknya ilmu, tetapi tidak semuanya memberi manfaat. Oleh itu, cahaya-cahaya ilmu dan amal itu adalah apabila pemilik (penuntut) ilmu mempelajari sesuatu ilmu itu dengan membuatkan hatinya bertambah zuhud di dunia, bertambah keinginan dan rindunya terhadap akhirat, bertambah pula tawadhu`nya dan bertambah khusyuk seluruh jiwa raganya kepada al-Haqq".


 

Telah berkata pula al-Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad di dalam kitab al-Fushul al-`Ilmiyyah,


 

"Apabila dirimu ingin mengetahui ilmu dan amal yang bercahaya (bermanfaat) dan penting bagi dirimu, maka hadirkanlah dalam dirimu bahawa engkau akan mati esok, akan menuju kepada Allah dan berdiri di hadapnNya. Lalu Dia bertanya kepadamu tentang segala sesuatu ilmu, amal dan semua keadaan dan hal ehwalmu, kemudian engkau akan menuju syurga atau keneraka. Ilmu yang penting dan bermanfaat adalah engkau dapati pada penghadiran itu dan itulah ilmu yang utama bagimu dan lebih penting bagimu serta lebih layak dan lebih patut adalah seharusnya engkau sibuk dengan ilmu itu terus-menerus (istoqomah mempelajarinya)."


 

Oleh itu, tinggalkan mana-mana ilmu yang membuatkan dirimu menjadi semakin jauh daripada al-Haqq dan pelajarilah ilmu-ilmu yang menunjukkan serta membawamu untuk hampir kepadaNya.


 

"Ya Allah kurniakan kepada kamu cahaya di dalam hati, akal dan ruh kami".


 

No comments:

Post a Comment