Sunday, May 16, 2010

Pembahagian Ilmu dan Amal Siri 1

Berkata Ustaz Muhammad Syamsol dalam kuliah Tasawufnya..


 

"Tertegaknya syariatNya adalah dengan ilmu dan amal".


 

"Tempuhilah ilmu dan amalmu melalui jalan-jalannya".


 


 

Wahai para pejuang!, teruskan mujahadahmu berjuang untuk memperolehi rahsia-rahsia daripada khazanah-khazanah al-Haqq. Pelajarilah ilmu yang berkaitan dengan syariat, tarekat dan hakikat. Semua ilmu ini sebagai sarana dan wasilahmu untuk sampai kepadaNya. Kemudian amalkanlah setiap daripada apa yang telah dirimu pelajari nescaya al-Haqq akan menganugerahkan kepadamu ilmu yang belum dirimu ketahui. Ketahuilah bahawa, apabila perbuatan pada anggota tubuhmu dan hatimu bergerak selari dengan apa yang dikehendaki oleh al-Haqq, maka ia disebut sebagai ketaatan. Tidaklah disebut ketaatan melainkan perbuatan itu juga sesuai dengan aturan syariat. Akan tetapi sekiranya perbuatan dan hatimu bergerak dengan menyalahi aturan syariat, maka ia dinamai maksiat. Oleh itu, telah menjadi kewajiban padamu untuk mempelajari dan mengetahui hal yang berkaitan ketaatan dan kemaksiatan. Maka inilah dinamai dengan ilmu syariat atau dikenali juga sebagai amal syariat. Amal syariat juga disebut sebagai amal Islam atau amal `ibadah, yakni ilmu ini membimbingmu agar beribadah kepadaNya dengan sebenar-benar ibadah. Ini adalah jalan permulaanmu sebelum dirimu menempuh jalan pertengahan (tarekat) dan terakhir (makrifat). Amal syariat juga mengajar kepadamu agar sentiasa memperbaiki keadaan lahiriahmu agar sesuai dengan syariat. Amal syariat mendidikmu agar lahiriahmu berjalan dibawah takdir al-Haqq sambil membawa amal taubat, amal takwa dan amal istiqomah. Ketahuilah bahawa!, dengan adanya taubat, takwa dan istiqomah, maka al-Haqq akan mengistimewakanmu dengan ilmu-ilmu syariatNya. Dialah al-Haqq yang menciptakan syariat dan Dia memerintahkanmu agar mengikutinya dan melarang dirimu mengikuti hawa nafsu atau sesuatu, sama ada ilmu atau amal yang tidak selari dengan garisan syariatNya. Ilmu dan amal syariat adalah perundangan al-Haqq yang telah diperundangkan kepada hamba-hambaNya. Oleh itulah amal syariat dikenali sebagai ilmu syariat. Ilmu syariat adalah ilmu yang berkaitan dengan peraturan yang telah ditetapkan al-Haqq melalui wahyu yang diturunkan kepada RasulNya. Di dalamnya terkandung ilmu tentang hukum-hakam dan cara perlaksanaannya. Al-Haqq telah menetapkan syariatNya kepada semua umat yang diciptaNya. Maka oleh itu, jangan sesekali dirimu membantah dan menolak atau menjauhkan diri daripada ilmu dan amal syariatNya. Takutilah al-Haqq melalui syariat-syariatNya. Al-Haqq telah memberi peringitan dalam firmanNya,


 

ﭺ ﭻ ﭼ ﭽ ﭾ ﭿﮀ ﮁ ﮂ ﮃ ﮄﮅ ﮆ ﮇ ﮈﮉ ﮊ ﮋ ﮌ ﮍ ﮎ


 

Maksudnya : Bagi tiap-tiap umat telah Kami tetapkan syari'at tertentu yang mereka lakukan, maka janganlah sekali-kali mereka membantah kamu dalam urusan (syari'at) ini dan serulah kepada (agama) Tuhanmu. Sesungguhnya kamu benar-benar berada pada jalan yang lurus. Surah al-Hajj ayat 67.


 

FirmanNya lagi,


 

ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡﯢ ﯣ ﯤ ﯥ ﯦ


 

Maksudnya : (yaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah (para Rasul), mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang(pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan. Surah al-Ahzab ayat 39.


 

FirmanNya lagi,


 

ﮗ ﮘ ﮙ ﮚ ﮛ ﮜ ﮝ ﮞ ﮟ ﮠ ﮡ ﮢ ﮣ ﮤ


 

Maksudnya : Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat(peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. Surah al-Jasiyah ayat 18.


 

Wahai para pejuang!, ilmu dan amal syariat itu adalah suatu kewajiban yang dituntut untuk mempelajarinya. Belajarlah dan jangan sesekali membiarkan dirimu termasuk golongan yang mempersia-siakannya. Yang pertama yang wajib bagimu pelajari adalah ilmu mengenal al-Haqq. Wajib bagimu mempelajarinya agar dirimu mengenal Zat, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatanNya. Ketahuilah bahawa, tidaklah ilmu ini dipelajari melainkan agar dirimu mengetahui dan mengenali siapa yang dikau sembah. Bukankah al-Haqq telah berfirman,


 

ﭝ ﭞ ﭟ ﭠ ﭡ ﭢ ﭣ ﭤ ﭥ


 

Maksudnya : Sesungguhnya (agama Tauhid) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu
dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku
. Surah al-Anbiya` ayat 92.


 

Perkara kedua yang wajib dipelajari olehmu adalah berkaitan dengan segala yang diwajibkan kepeda seorang hamba pada lahiriahnya dan hukum-hukum syariat dan manfaat-manfaatnya. Ilmu ini dikenali sebagai ilmu fiqh. Ketahuilah bahawa, inilah ilmu yang dikaitkan dengan pengetahuan (makrifah) seseorang tentang hak dan kewajipannya berdasarkan dalil al-Haqq dan as-Sunnah. Pelajarilah secara tekun ilmu ini sehingga dirimu memahami setiap daripada hukum melalui sumber-sumbernya. Perlu diketahui bahawa, ilmu fiqh adalah berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia kerana ilmu fiqh sumbernya adalah wahyu al-Haqq yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah.


 

Perkara ketiga yang wajib dirimu ketahui adalah ilmu yang diwajibkan di dalam batinnya, iaitu ilmu yang berkaitan dengan hati. Inilah ilmu yang kebanyakkan manusia meninggalkannya untuk mempelajarinya. Inilah ilmu yang menerangkan mengenai rahsia-rahsia hati dan akalmu. Ilmu ini dapat membentukmu untuk berakhlak dengan akhlak yang terpuji dan menjauhkan dirimu daripada akhlak-akhlak keji.


 

Amal tarekat pula adalah jalan yang membawa batinmu menuju kepada al-Haqq dan ia juga disebut sebagai amal iman. Amal tarekat juga disebut sebagai amal `ubudiyah (penghambaan), yakni sentiasa merasakan bahawa dirimu adalah hamba al-Haqq dan bukannya hamba kepada makhlukNya. Amal tarekat ini mengajar kepadamu cara untuk membersihkan hatimu daripada noda-noda yang menjadikan hatimu hilang cahayanya.


 

Bersambung dalam siri ke 2,


 


 

"Ya Allah peliharalah ilmu dan amalan kami".

No comments:

Post a Comment