Friday, April 30, 2010

Ilmu Yang Bermanfaat

Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol,


"Mulakanlah waktu siangmu dengan mempelajari ilmu yang bermanfaat, nescaya pada waktu-waktu yang lain juga bermanfaat juga buatmu".


Menuntut ilmu yang bermanfaat.


Wahai jiwa yang memerlukan pandangan Rahmat dan Kasih SayangNya kepadamu, hendaklah dirimu sentiasa dalam keadaan berzikir kepada al-Haqq. Sama ada zikir pada lisan dan hatimu atau salah satu di antara keduanya. Jika dirimu sanggup, maka teruskan dengan membaca tasbih, tahmid, takbir dan tahlil dengan sebanyak-banyaknya. Sekiranya dirimu telah dipilih al-Haqq untuk menguruskan kehidupan dengan pelbagai aktiviti, maka lakukanlah dengan sebaiknya. Jujurlah dalam setiap urusan di dalam pekerjaanmu itu. Jika dirimu dipilih untuk menuntut ilmu di awal pagi atau sekira-kira selepas masuknya waktu Dhuha, maka persiapkanlah segala persiapan dengan sebaik yang mungkin. Dalam sebuah hadis, Nabi saw telah bersabda yang bermaksud,


"Barangsiapa diwaktu pagi ia berangkat daripada rumahnya untuk mencari ilmu, maka ia itu sedang berada di jalan Allah sehinggalah ia pulang kembali kerumahnya". Kitab Qutul Qulub.


Sabda Nabi saw lagi,


عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي فَضْلِ طَالِبِ الْعِلْمِ ، أَنَّهُ قَالَ : " مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ، وَأَنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ ".


Maksudnya : Daripada Abi Darda`, daripada Nabi saw, mengenai fadhilat menuntut ilmu, bahawasanya baginda telah bersabda, "Barangsiapa yang berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari jalan untuk menuntut ilmu, akan ditunjuki oleh Allah baginya akan jalan daripada (menuju) kepada syurga, dan bahawasanya para Malaikat itu sentiasa merendahkan sayapnya kepada penuntut ilmu".


Sabda baginda Nabi saw lagi,


" مَنْ دَخَلَ مَسْجِدَنَا هَذَا لِيَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يُعَلِّمَهُ، كَانَ كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَمَنْ دَخَلَهُ لِغَيْرِ ذَلِكَ كَانَ كَالنَّاظِرِ إِلَى مَا لَيْسَ لَهُ "


Maksudnya : "Barangsiapa yang masuk ke masjid kami ini, untuk mempelajari ilmu yang membawa kepada kebaikan atau dia mengajarkannya, adalah ia itu seperti mana seorang mujahid di jalan Allah, dan barangsiapa yang masuk ke dalam masjid untuk selain daripada itu, adalah ia seperti mana menyaksikan kepada apa yang bukan untuknya". Sahih Ibnu Hibban.


Hadis ini menunjukkan kelebihan menuntut ilmu di masjid.


Sabda baginda Nabi saw lagi,



"وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا قَعَدَ قَوْمٌ فِي مَسْجِدٍ يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ"


Maksudnya : "Dan barangsiapa yang berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari jalan dengan tujuan semata-mata menuntut ilmu, akan dipermudahkan Allah baginya itu jalan menuju ke syurga, dan tidaklah satu kaum itu duduk di dalam masjid, sambil mereka itu mempelajari Kitabullah (al-Quran atau ilmu yang berkaitan) dan adanya orang yang mengajar di antara mereka kecuali diturunkan ketenangan ke atas mereka, sambil mereka diluputi dengan Rahmat, mereka juga dikelilingi oleh para Malaikat". Sunan at-Tirmizi.


Berkata pula Ibnu Mas`ud r.hu,


"Jelanglah waktu pagimu itu dalam keadaan mengajar, belajar atau mendengar ilmu. Janganlah engkau menjadi yang keempat, kerana engkau akan celaka (rugi)".


Kami berkata (penulis), maksud "janganlah engkau menjadi yang keempat", yakni seseorang yang melakukan sesuatu kerja yang tidak dinilai ibadah dan yang tidak membawa manfaat pada diri dan orang lain.


Kata Abu Zar al-Ghifari r.hu,


"Menghadiri majlis ini itu lebih utama daripada solat sunat seribu rakaat, lebih utama daripada mengurus seribu jenazah dan mengziarahi seribu orang sakit".


Hadis ini menunjukkan kepada pahala bagi seseorang yang menuntut ilmu.


Abu Zar r.hu ditanya mengenai orang yang membaca al-Quran dan adakah menghadiri mejlis itu lebih utama, maka jawapnya,


"Tidak akan bernilai (member manfaat dan pahala) akan bacaan al-Quran, melainkan diikuti dengan ilmu (membaca al-Quran dengan ilmunya)".


Ketahuilah wahai para pejuang di jalanNya!, sesungguhnya ilmu yang dipelajari dan mengajarkannya adalah lebih tinggi dan lebih utama jika dibandingkan dengan semua perbuatan yang dilakukan untuk mendekati diri kepada Allah swt. Walaupun begitu, hendaklah dirimu bijak dalam mencari dan mengajarkan ilmu kerana bukan semua itu wujudnya berkah, manfaat dan kebaikannya. Ketahuilah bahawa, hanya ilmu yang memberi manfaat sahajalah yang akan member sinar dalam amalan dan kehidupanmu di dunia dan di akhirat. Telah berkata al-Imam Ibnu `Atoillah as-Sakandari r.hu di dalam kitabnya yang bernama al-Hikam,


العلمْ النافعُ هُو الذي يَنْبَسِط في الصدر شعاعُه ، ويُكْشَفُ به عن القلبِ قناعُه ، خَيرُ العلم ما كانت الخشيةُ مَعَه؛ والعلم إن قارَنَتْهُ الخشيةُ فَلَكَ؛ وإلا
فَعَلَيْكَ


Maksudnya : "Ilmu yang memberi manfaat itu ialah itu yang memancarkan atau menghamparkan cahayanya di dalam dada dan membuka atau menyingkap hijap pada hati. Sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang disertai perasaan takut kepada Allah dan sekiranya ilmu yang disertai dengan perasaan takut kepada Allah, maka ia akan menguntungkan kamu dan sekiranya tidak, maka ia akan membahayakan kamu".


Ketahuilah bahawa, ilmu yang bermanfaat itu ada cahayanya. Tidaklah wujudnya cahayanya melainkan datangnya daripada cahayaNya. Ketahuilah juga, kefahaman itu adalah cahayanya. Sekiranya al-Haqq menghendaki kebaikan kepadamu nescaya Dia akan anugerahkan maqam kefahaman daripada ilmu yang bermanfaat yang telah dirimu pelajari, seperti mana yang disabdakan baginda Nabi saw,


" مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَإِنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمِ "


Maksudnya : Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan kepadanya, nescaya Dia akan fahamkannya dalam agama, dan sesungguhnya itu itu hanya dengan belajar. Sahih al-Bukhari.


Allah swt telah memulai dengan diriNya sendiri, kemudian dengan para Malaikatnya dan selanjutnya para ahli ilmu.


FirmanNya,


Maksudnya : Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Surah Ali Imran ayat 18.


FirmanNya lagi,


Maksudnya : Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan. Surah al-Mujadalah ayat 11.



"Ya Allah, kuatkan kami dalam menuntut ilmu keranaMu".


No comments:

Post a Comment