Sunday, April 25, 2010

Tafsir Surah Yaasin ayat 55-59

Ustaz Muhammad Syamsol pernah menafsirkan ayat ini dalam salah satu siri kuliahnya…

Beliau berkata,

"Tuhan kita, Dialah Zat yang Azali lagi Abadi, pemilik Kalam yang mulia, Dia telah berfirman"

Surah Yaasin ayat 55 hingga 59. (Telah diringkaskan)

Maksudnya :

Ayat 55 : Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan.


 

Penafsirannya :


 

  1. Dalam ayat ini Allah swt menceritakan mengenai sifat dan keadaan penduduk syurga. Disebutkan mereka ini sibuk leka dan bersenang-lenang kerana mereka merasai kelazatan, keasyikkan dan kelekaan terhadap nikmat-nikmat syurga yang mereka hadapi. Kesenangan itu membawa maksud bahawa mereka terpelihara daripada merasai kepedihan, kesedihan dan penyesalan.
  2. Maksud "pada hari itu", yakni hari yang telah dijanjikan iaitu berupa ganjaran syurga kepada mereka. Hari dimana segala keistimewaan terhadap mukmin yang muttaqin akan diganjari oleh Allah swt. Bahkan mereka itu berada dalam kenikmatan yang menghairankan kerana melihat keindahan, kecantikkan taman-taman syurga disamping mendengar kemerduaan suara-suara zikir, bau-bauan yang semerbak harum dan pelbagai hal-hal yang luar biasa yang tidak sama seperti semasa di dunia. Begitu juga telah disebutkan bahawa semasa itu juga penduduk syurga dalam keadaan bersantai dan tenang bahagia sambil bergurau-senda sesama mereka.


 

Maksudnya :

Ayat 56 : Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin.


 

Penafsirannya :


 

  1. Ayat ini menunjukkan sifat kenikmatan yang dialami oleh penduduk syurga. Antaranya yang disebutkan "Mereka dengan pasangan-pasangan mereka", yakni bidadari-bidadari syurga. Bidadari ini merupakan makhluk-makhluk Allah swt yang suci bersih yang tidak pernah disentuh oleh seorang makhlukpun, ia diciptakan oleh Allah swt daripada kasturi, anbar, kabur barus, za`faran dan cahaya. Kecantikkan bidadari tersebut ibarat sinaran cahaya yang dikeluarkan daripada ya`kut atau permata-permata dan disediakan khas buat penduduk syurga agar mereka merasai kenikmatan dan kelazatan terhadap bidadari tersebut. Ayat ini juga menunjukkan bahawa penduduk-penduduk tidak mengalami kesunyian dan menyendiri keseorangan.
  2. Maksud "di tempat yang teduh" yakni di bawah naungan cahaya `Arasy Allah swt, kerana cahaya `Arasy tidak wujud kepanasan sepertimana cahaya matahari. Dimaksudkan juga bahawa naungan itu merupakan keselamatan, pengawasan dan kasih sayang Allah swt yang terhadap penduduk syurga. Ia juga menunjukkan kepada suasana tempat di syurga.
  3. Disebutkan juga bahawa penduduk-penduduk syurga ketika itu sedang duduk berbaring di atas kerusi-kerusi khas yang mungkin katil-katil atau bangku panjang sebagai tempat beristirehat dan "pelamin" yang di maksudkan ialah ibarat tempat bersanding yang hanya dikhaskan buat penduduk syurga dan pasangannya.


 

Maksudnya :

Ayat 57 : Mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki.


 

  1. Dalam ayat ini masih lagi diterangkan mengenai kenikmatan-kenikmatan dan disebutkan disini ialah mengenai pelbagai jenis buah-buah yang akan dimakan oleh penduduk syurga bagi menunjukkan penduduk syurga sesekali tidak merasai kelaparan sepertimana penduduk neraka.
  2. Diriwayatkan daripada hadith bahawa antara buah yang menyerupai buah syurga yang berada di atas muka bumi ialah buah semangka, buah labu, buah kurma dan buah tin. Disebutkan juga di dalam al-Quran seperti buah bidara, buah anggur dan buah pisang. Buah-buahan itu terdiri daripada buah-buah yang segar, menghijau sama ada yang dikenali ataupun tidak.
  3. Dalam ayat ini juga dijelaskan bahawa para penduduk syurga bebas untuk meminta buah-buahan mahupun apa sahaja yang mereka kehendaki. Bahkan disebutkan dalam kitab-kitab tafsir bahawa, mereka yakni penduduk syurga bebas meminta apa sahaja di syurga yang tidak mereka dapat semasa di dunia, bahkan Allah swt mengandakan pemberianNya dari apa yang di mohon oleh mereka.


 

Maksudnya :

Ayat 58 : (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.


 

Penafsirannya :


 

  1. Ayat ini menjelaskan bahawa Allah swt akan memberi Salam Penghormatan kepada penduduk syurga sebagai tanda Maha Kasih dan Redha Allah swt terhadap mereka.
  2. Salam disini bermaksud keselamatan, kedamaian, ketenteraman dan juga sebagai tanda kemulian yang diberi Allah swt kepada penduduk syurga. Wujudnya kemesraan antara Allah swt dan hambaNya kerana Allah swt sendiri yang memberi ucapan salam tersebut hinggakan penduduk syurga terlupa dengan kenikmatan-kenikmatan yang sedang mereka alami.


 

Maksudnya :

Ayat 59 : Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): "Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman).


 

Penafsirannya :


 

  1. Dalam ayat ini Allah swt menceritakan mengenai keadaan orang-orang kafir sewaktu terjadinya hari qiamat. Allah swt memerintahkan agar mereka ini memisahkan diri atau jangan duduk berdiri bersama orang-orang yang beriman.
  2. Ayat ini juga menjelaskan bahawa manusia pada hari itu berada dalam bergolong-golongan mengikut amalan-amalan mereka. Tidaklah orang yang ingkar itu akan dihimpun bersama dengan orang-orang yang taat.


 

WA ALLAHU `ALAM.


 

No comments:

Post a Comment