Sunday, April 25, 2010

Berakhlak kepada Allah swt

Ustaz Muhammad Syamsol pernah berkata,

"Hati sifatnya lemah, rendah dan ada kalanya sakit, maka pelajarinya cara merawatnya".

Katanya lagi,

"Ikhlas dan murnikanlah perbuatanmu hanya kepada dan hanya untuk al-Haqq".

Hendaklah seseorang hamba itu meluruskan akhlak hatinya dengan cara yang terbaik. Mengetahui bagaimana dan kaedah-kaedah merawat dan memperbaikinya supaya seseorang hamba itu dapat memenuhi tugas utamanya dalam kehidupan ini dan memenuhi tugas kerasulan Nabi Muhammad saw, iaitu menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia. Antara akhlak-akhlak hati yang perlu diketahui oleh hamba-hambaNya yang telah mempunyai hati yang bermakrifah ialah :

Perkara ini perlu diambil berat oleh hamba-hambaNya yang mempunyai hati makrifah. Hendaklah dalam diri hamba sentiasa merasai serba kekurangan daripada pelbagai sudut. Lebih-lebih mengenai ilmu pengetahuan. Tidak ada makhluk yang berilmu melebihi ilmuNya. Akhlak hati perlu menyakini bahawa Dialah Tuhan yang Maha Mengetahui. Para hambanya hanya mengetahui ilmu pengetahuan zahin dan batin berdasarkan daripada kurniaanNya semata-mata. FirmanNya,

Maksudnya : Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa Yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". Surah al-Baqorah ayat 32.

Dalam ayat ini, akhlak para malaikatNya mengakui kekerdilan dan kekurangan ilmu yang ada pada mereka, lantas mereka memuji Zat TuhanNya yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. FirmanNya lagi,

Maksudnya : Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke Gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesarannya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha suci Engkau (Wahai Tuhanku), Aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku). Surah al-`Araf ayat 143.

Ayat ini menjelaskan mengenai akhlak Nabi Musa as tatkalamana baginda merasai bersalah kerana memohon sesuatu yang tidak mungkin boleh dicapai oleh hamba-hambaNya. FirmanNya lagi,

Maksudnya : Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". Surah an-Naml ayat 19.

Ayat ini menjelaskan mengenai akhlak Nabi Sulaiman as yang memohon kepada Allah swt agar dikurniakan sifat dan akhlak agar sentiasa bersyukur dan akhlak-akhlak yang lain.

Berakhlak dengan Allah swt bermaksud beradab juga denganNya. Kita adalah hamba dan Dia adalah Tuhan yang Maha Raja. Kita adalah faqir miskin dan Dia adalah Maha Kaya. Berakhlak dengan Allah swt ialah dengan menjaga semua aturan-aturan dan hukum-hukumNya. Hati hendaklah sentiasa berakhlak dengan memurnikan semua perintah-perintahNya itu. Perbuatan hati haruskan bersih, cantik dan jernih dengan niat untuk bertaqorrub semata-mata padaNya.

Katanya lagi,

"Ingatlah, akhlak hati ibarat cermin pada diri. Semakin digilap semakin bersinar".

No comments:

Post a Comment