Sunday, April 25, 2010

Akhlak niat

Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol,

"Barangsiapa yang memisahkan niat daripada perbuatannya, maka dia juga telah memisahkan ganjaran yang bakal ia terima".

Katanya lagi,

"Kesungguhan amalan itu dilihat apabila adanya kesungguhan dalam niatnya".

"Yang menyebabkan hambaNya berada kekal di dalam syurga adalah kerana adanya nilai-nilai kebaikan dalam niatnya, manakala amalannya adalah tempat untuk ia berada pada tingkatan dan darjat di dalam syurga".

"Dengan niat sahaja, seseorang telah disampai disisiNya". (Yakni dengan hanya niat untuk melakukan kebaikan, seseorang itu telah diberi pahalanya daripada al-Haqq).

Pernah dia berkata dalam kuliah tafsirnya,

"Dengan niat, maka perbuatan dan amalanmu terangkat dan diistimewakan".

Ketahuilah olehmu wahai jiwa yang telah bermakrifah!, hendaklah dirimu mengetahui dalam hal ini dengan sebaik-baiknya kerana ia berhubungan dengan cahaya di dalam hati. Hendaklah dirimu berakhlak dalam hal niat ini. Pelajarilah rahsia-rahsianya dan sentiasalah membetulkannya. Adapun berakhlak dengan niat ini ialah dengan sentiasa menyempurnakan sifat keikhlasan dalam hati. Hadirkan dalam hatimu bahawa semua amalan-amalanmu itu dilakukan dan diamalkan semata-mata untuk menyempurnakan perintah Allah swt dan untuk mendapat keredaanNya. Bersikap tunduk dan khusyuklah dalam semua amalanmu itu. Sesungguhnya Allah swt sekali-kali tidak akan mengsia-siakan amalan para hambaNya yang ikhlas keranaNya. Serahkanlah dirimu bulat-bulat dihadapanNya. Firman Allah swt,

Maksudnya : (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Surah al-Baqorah ayat 112.

Hendaklah dirimu berniat untuk ganjaran di akhiratmu. Sentiasa bersyukur atas segala pemberianNya sama ada kecil ataupun besar. Sesungguhnya dengan niat yang ikhlas yang wujud di dalam hati hamba itu dan hamba itu hanya tujukan kepada Robbul Jalil semata-mata, maka Dia akan memberi balasan dengan segera kepada hambaNya itu tanpa diduga-duga kedatangannya. Yakinlah dengan balasan itu!, berniatlah untuk amalanmu untuk akhiratmu. Ingatlah!, barangsiapa yang amalannya semata-mata diniatkan untuk dunianya, maka Dia akan membalasnya dan memberinya di dunia sahaja dan manakala di akhirat tiada balasan baginya. Barangsiapa amalannya diniatkan semata-mata untuk akhiratnya, maka Dia akan memberi dan membalasnya di dunia dan di akhirat. Inilah yang perlu diwujudkan dalam hati dan jiwamu dalam berakhlak terhadap niat ini. Firman Allah swt,

Maksudnya : Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, Iaitu ketetapan (ajal) Yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang Yang bersyukur. Surah Ali Imran ayat 145.

FirmanNya lagi,

Maksudnya : Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yng sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. Surah al-hajj ayat 37.

Ketahuilah wahai hati yang telah bermakrifah!, hubungkanlah keikhlasan dalam hatimu itu dalam semua urusan. Perlihatkanlah dan serahkanlah hatimu yang benar-benar ikhlas itu dalam semua urusan semata-mata hanya keranaNya. Itulah pandangan pertama yang dilihat oleh Tuhanmu. Hatimu yang ada wujud keikhlasan yang dilihat olehNya. Sabda Nabi saw,

إِنَّ اللهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa paras kamu dan harta-harta kamu, akan tetapi Allah melihat hati kamu dan amalan-amalan kamu. Hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.

Ketahuilah wahai hamba-hambaNya yang sedang mencariNya!, fahamilah baik-baik sabda NabiNya ini. Hendaklah hatimu ketahui bahawa, Allah swt menentukan keredaanNya bukan berdasarkan sifat zahir dalam dirimu itu dan bukan juga dengan harta-hartamu, akan tetapi keredaanNya wujud apabila Dia melihat hati dan amalan-amalanmu itu wujudnya berapa banyakkah tanda keikhlasanmu kepadaNya.

Firman Allah swt,

Maksudnya : Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. Surah al-Ankabut ayat 69.

Sabda Nabi saw lagi,

إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبَلُ مِنْ الْعَمَلِ إِلاَّ مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا وَابْتُغِيَ بِهِ وَجْهُهُ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak menerima daripada amalan-amalan kecuali semata-mata (amalan yang dilakukan itu) ada wujud keikhlasan semata-mata untukNya dan bertujuan untuk mendapat keredaanNya sahaja. Hadis diriwayatkan oleh an-Nasai.


 

"Ya Allah, perbaikilah amalan zahir dan batin kami".

No comments:

Post a Comment