Sunday, April 25, 2010

Akhlak kepada al-Quran

Telah berkata Ustaz Muhammad Syamsol..

"Barangsiapa yang mahu al-Haqq memperluaskan ilmunya, maka hendaklah juga yang memperluaskan ilmunya dengan mempelajari al-Quran".

Katanya lagi,

"Akan semakin kuranglah kemulian seseorang bagi sesiapa yang tidak berminat untuk membaca al-Quran dan mentadburinya".

Hendaklah seseorang yang telah mempunyai hati yang bermakrifah itu mengetahui bahawa hati merupakan alat untuk memahami dan berfikir setiap daripada apa yang telah diturunkan Allah swt kepada Nabi Muhammad saw yakni al-Quran. Layaknya bagi seseorang hamba itu merenung dengan menyeluruh bagi menghubungkan kepada maksud sebuah ungkapan dan makna ayat-ayat al-Quran dengan cara yang mendalam. Akhlak dengan al-Quran itu ialah perenungan dan pencermatan ayat-ayat al-Quran adalah untuk tujuan difahami, diketahui makna-maknanya, hikmah-hikmah, hukum-hakam dan penjelasannya. Inilah yang dinamai dengan Tadabbur al-Quran. Seseorang yang benar-benar bertadabbur al-Quran ini, benar-benar merasai kebenaran apa yang disebutkan Allah swt di dalamnya, sambil mata mereka mencucurkan air mata di sebabkan kebenarannya. Sambil hati mereka gementar tatkalamana ayat-ayatNya didengar atau dibaca. Keimanan mereka bertambah, sedang jiwa mereka merasa bahagia dan gembira. Sepertimana firmanNya,

Maksudnya : Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, Kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w). Surah al-Maaidah ayat 83.

FirmanNya lagi,

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Surah al-Anfal ayat 2.

FirmanNya lagi,

Maksudnya : Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Surah at-Taubah ayat 124.

Oleh itu, ketahuilah wahai yang hidup akan hatinya. Berakhlaklah dengan al-Quran sepertimana kamu berakhlak denganNya dan RasulNya. Hendaklah hati dan pikiran hamba itu benar-benar menyatu sewaktu membacanya. Berhentilah di setiap ayat bagi merasai ketakjuban dan pengagungannya. Menangislah semata-mata takut keranaNya agar bertambah kekhusu`kan. Sentiasalah mengharapkan ketenangan kepadaNya.

Kata Ustaz Muhammad Syamsol..

"Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah ia menjadikan al-Quran sebagai panutan dalam kehidupannya".

"Jangan kamu bangga dengan kedudukanmu, sekiranya kedudukanmu itu bertentangan dengan Kalam AzaliNya"

"Hati yang tiada walaupun sedikit daripada KalamNya ibarat rumah besar yang tiada penghuninya"

Ketahuilah bahawasanya, antara cara berakhlak dengan al-Quran itu ialah dengan mencintainya. Hendaklah hati hamba itu merasa senang, gembira, lazat dan nikmat ketika bertemu dengannya. Duduklah bersamanya tanpa merasa jemu dan bosan. Rindulah kepadanya tatkalamana telah lama tidak bertemu kerana terhalang dengan beberapa rintangan untuk menghadapinya. Hendaklah hati sangat-sangat berharap untuk bertemu dengannya dan menelaahnya sambil berusaha menghilangkan rintangan-rintangan yang menghadangnya. Hendaklah hati sering berdialaog dengannya, percaya dengan penuh keyakinan terhadap arahan-arahannya dan selalu merujuk kepadanya berkaitan dengan masalah-masalah kehidupannya, baik kecil mahupun yang besar serta taat kepadanya sama ada ada baik dalam hal perintah mahupun larangan. Semua ini merupakan tanda-tanda kecintaan hati terhadap al-Quran yang perlu di idam-idamkan oleh seluruh hambaNya. Apabila tanda-tanda tersebut wujud maka kecintaan juga wujud dan apabila tanda-tanda tersebut telah hilang, maka kecintaannya juga akan turut hilang. Namun, apabila sebahagian tanda-tanda tadi telah hilang, maka kecintaannya kepada al-Quran juga akan ikut berkurang sesuai dengan kadar tanda yang tidak ada dalam kecintaannya. Oleh itu dikatakan bahawa, akhlak dengan al-Quran akan sempurna sekiranya tanda-tanda ini wujud secara sempurna dan menyeluruh dan akhlak akan berkurang sekiranya tanda-tanda ini sebahagiannya juga turut berkurang.

No comments:

Post a Comment